Sunday, February 8, 2015

Sidang media Asean YouthPreneur dan penutup kembara ASEAN Jaringan Anak Muda di Kementerian Pemuda dan Olahraga Indonesia




Pagi ini kami bertolak lebih awal dari Pesantren Mutiara Bangsa menaiki motor ke UI Depok sebelum menaiki keretapi di stesyen Universitas Indonesia menuju ke Sudirman.Kami memilih untuk bergerak awal memandangkan pada hari ini juga terdapat banyak acara bersempena dengan 100 hari Presiden Indonesia,Jokowi memimpin Indonesia.

Dalam keretapi suasana agak sesak dan kami pula membawa segala beg pakaian kami memandangkan selepas tamat acara sidang media Asean YouthPreneur di Kementerian Pemuda dan Olahraga,kami akan bergegas ke lapangan terbang Soekarno Hatta kerana kami mengambil penerbangan pulang ke Kuala Lumpur jam 2.30 petang ini juga.

Di Kementerian Pemuda dan Olahraga,kami bertemu terlebih dahulu dengan Pak Drajat yang berpengalaman luas dalam melatih usahawan muda di Indonesia.Beliau berkongsi pengalaman dan ilmu beliau berkenaan usahawan kepada kami dan sudi membantu dan membimbing Asean YouthPreneur sehingga berjaya nanti.Pak Drajat menasihatkan kami untuk terus membina jaringan kerjasama antara usahawan muda Indonesia dan Malaysia dan memberitahu kami tentang peluang perniagaan dan mendapatkan pelbagai stok jualan di Indonesia ini.





Kami kemudiannya hadir ke acara sidang media penubuhan Asean YouthPrenuer yang dihadiri oleh Timbalan Menteri Pemuda dan Olahraga Indonesia dan pimpinan tertinggi kementeriannya.Turut hadir ialah sahabat saya daripada Indonesia Youth Forum,Ahmad Syamsuddin yang bersama-sama saya menyertai acara InterFaith Summit 2012 di Bali dahulu.Beberapa orang perwakilan usahawan muda Indonesia juga hadir memeriahkan majlis sidang media ini.

Acara sidang media dimulakan terlebih dahulu dengan pembentangan oleh pengasas Asean YouthPreneur,Vivi dan kami perwakilan Malaysia juga berkesempatan menceritakan secara ringkas tentang projek kembara kami dihadapan Timbalan Menteri Pemuda dan Olahraga Indonesia dan  berkenalan juga dengan pimpinan Kementerian Pemuda dan Olahraga.



Timbalan Menteri Pemuda dan Olahraga menyatakan rasa kagum dengan usaha anak muda Indonesia dan Malaysia yang bersatu menggerakkan Asean YouthPreneur ini dan beliau menyokong sepenuhnya projek Asean YouthPreneur ini.Beliau mengharapkan di pihak Kementerian Belia dan Sukan Malaysia juga bersedia untuk menjalin projek kerjasama bersama Kementerian Pemuda dan Olahraga  Indonesia sekaligus membina jaringan kerjasama yang mantap antara kedua-dua negara.

Kami rasa bersyukur kerana projek Asean YouthPreneur ini berjaya mendapat sokongan daripada Kementerian Pemuda dan Olahraga Indonesia dan akan membawa projek ini kepada Kementerian Belia dan Sukan Malaysia pula nanti.Asean YouthPreneur ini akan dimulakan terlebih dahulu antara usahawan muda 2 negara iaitu Indonesia dan Malaysia sebelum ke negara-negara Asean yang lain nanti.

Saya juga sempat bertemu Sare Aiu,sahabat InterFaith Summit 2012 di Bali yang mahu menemui saya disini dan kami sebenarnya berjaya mengumpulkan 5 orang alumni InterFaith Summit 2012 disini iaitu saya,Ridwan,Vivi ,Ahmad Syamsuddin dan Sare Aiu.Sebelum ini saya dan Ridwan sempat bertemu sahabat InterFaith Summit  2012 Bali yang lain iaitu Shintya,Mrs Poon,Namson di  Jakarta dan Tiwi,Okky dan Ranto di Bandung.

Sare Aiu kemudiannya  membawa saya bertemu dengan sahabat beliau pimpinan organisasi PMII.PMII sangat berminat untuk berkerjasama dengan Jaringan Anak Muda dan mahu terlibat sama dengan projek Asean YouthPrenuer ini.

Jam sudah menunjukkan waktu menghampiri 12.30 tengahari ketika kami tamat acara sidang media ini dan kami perlu bergegas ke Lapangan Terbang Soekarno Hatta .Ahmad Syamsuddin,Ketua Umum Indonesia Youth Forum menemani kami dari Kementerian Pemuda dan Olahraga ke stesyen bas sebelum kami menaiki bas terus ke Lapangan Terbang Soekarno Hatta.

Kami mengambil penerbangan pulang jam 2.30 petang  dari Jakarta ke Kuala Lumpur dan akhirnya berjaya menamatkan misi Kembara Asean Jaringan Anak Muda:Indonesia 2015.
 

Kembara yang bermula hasil lepak santai dan cetusan idea sederhana sebelum ia menjadi sedikit besar dengan peranan media dan pertemuan dengan jaringan sahabat yang cukup menginspirasikan dan ia pastinya cukup indah dan meninggalkan kami dengan 1001 kenangan yang cukup manis.

Pastinya kami akan kembali ke sana lagi nanti.

No comments:

Post a Comment