Wednesday, February 25, 2015

Debat antara Dato Saifuddin Abdullah vs Dato Nur Jazlan






Hari ini saya hadir ke acara debat antara Dato Saifuddin Abdullah vs Dato Nur Jazlan yang diadakan di Auditorium Kompleks Perdana Siswa,Universiti Malaya.Saya suka hadir acara debat sebegini untuk mendengar hujah dan idea para pendebat sekaligus membuat analisis dan perbandingan hujah antara para pendebat.

Acara debat ini wajar diaktifkan dikalangan mahasiswa universiti kita.Pastinya ia bukan untuk menentukan siapa yang menang dan siapa yang kalah dalam berdebat  atau siapa yang lebih petah berkata-kata tetapi debat ini juga boleh dijadikan sarana untuk menyampaikan kebijaksanaan dan bagi saya juga,saya cenderung untuk melihat acara debat ini dari aspek IDEA dan PEMIKIRAN.

Dato Saifuddin Abdullah mengupas  pandangan Prof Syed Naquib Al-Attas dan menjelaskan bahawa universiti ini bukan bangunan-prasarana sahaja,tetapi ia juga wajar dilihat daripada interaksi antara pensyarah-pensyarah,mahasiswa-mahasiswa, dan pensyarah-mahasiswa.Ia juga satu tempat untuk melahirkan Insan kamil -manusia yang baik dan oleh kerana itu para warganya perlulah mengamalkan budaya ilmu dan meletakkan ilmuwan di tempat tertinggi serta membuat sesuatu keputusan berdasarkan ilmu.

Dato Saifuddin juga menekankan soal autonomi universiti dan mempersoalkan samada universiti sekarang ini hanya sebagai makmal kerajaan dan adakah IPT swasta sekarang ini lebih mementingkan keuntungan-komersial.

Soal kebebasan akademik menurut beliau perlulah dihayati-diamalkan oleh pentadbir-pensyarah-mahasiswa dan beliau membangkitkan persoalan tentang keperluan ranking dan merasakan bahawa fokus kekuatan  perlulah diberi kepada semua fakulti-pensyarah yang membentuk pasukan penyelidik.

Beliau menjelaskan persoalan antara terlalu mementingkan ranking  dan  siapa profesor-buku-buku besar yang telah dihasilkan,penyelidikan yang berkualiti dan kepentingan menjaga para profesor ternama -para cendekiawan di universiti dan tidak membiarkan mereka ‘dicuri’ .Perlantikan para pensyarah-ahli akademik juga perlu dilihat dari ukuran akademik  atau ‘academic leader’-‘leading scholar’ dalam bidangnya.

Dato Saifuddin juga menyarankan agar dikurangkan kos-yuran universiti dan ia boleh dibuat dengan perbelanjaan yang berhemah serta memerangi sebarang bentuk  rasuah.Beliau mencadangkan juga autonomi universiti untuk mengambil pelajarnya sendiri.

Soal kesederhanaan-jalan pertengahan juga dibangkitkan beliau dan menyentuh pelbagai sikap seperti tidak tamak haloba dan tidak mewujudkan jurang antara orang kaya dan orang miskin dan beliau menekankan soal bagaimana mendidik seseorang dan  amalan hidup-contoh tauladan.

Beliau juga mengupas soal memerangi keganasan-ekstrimis dan menolak ‘politics of assassination’ dan politik yang mengamalkan mengutuk orang lain dan membuka aib orang lain dan menyatakan ‘masuk politik kerana perjuangan berbaloi’.

Beliau menyarankan agar mahasiswa menjadi seorang aktivis ,melibatkan diri dalam program kesukarelawanan ,menyertai gerakan mahasiswa dan sempat menyatakan:’Persatuan mee goreng tak sama dengan gerakan mahasiswa kan?’

Mahasiswa menurut beliau perlu berpegang kepada rukun  ‘Idealisme-aktivisme-intelektualisme’,berpegang dan mempertahankan  idealism selain menggunakan segala peluang dan memanfaatkan sebaik mungkin untuk melakukan sebanyak mungkin perubahan.

Beliau juga meyarankan universiti seimbang sebagai gedung ilmu dan penyelidikan dan menghasilkan ‘good man’ bukan sekadar ‘good  worker’

Dato Saifuddin menjelaskan keperluan membina hubungan akrab antara pentadbir-persatuan mahasiswa –alumni dan  hubungan akrab antara kerajaan-universiti tetapi mengelak sebarang bentuk campur tangan dan  ‘suruhan dari atas’.

Yang paling utama menurut beliau ialah mahasiswa dan  oleh kerana itu kita perlu mempertingkatkan kualiti mahasiswa dan bagi mahasiswa itu sendiri perlulah membangun diri dan memperkasa gerakan mahasiswa.
Beliau menasihatkan agar mahasiswa rajin menulis dan membuat dokumentasi agar ia boleh menjadi rujukan kepada orang lain akan datang

Dato Nur Jazlan pula membangkitkan persoalan adakah objektif universiti selari dengan dasar kerajaan,dan keperluan universiti untuk berubah,tidak terlalu teori bahkan mengikut hasrat kerajaan.

Bagi beliau ranking/KPI universiti sangat penting agar boleh dipasarkan dan kerajaan telah memberi banyak peruntukan kepada universiti namun menurut beliau apakah hasil penyelidikan universiti-pensyarah kita?Apakah pensyarah kita diiktiraf oleh rakan universiti luar negara?

Beliau menjelaskan keperluan menaikkan  taraf pensyarah-mahasiswa agar mendapat pengiktirafan dunia dan mempersoalkan bagaimana dengan  kewibawaan pensyarah kita?Dan adakah mereka diiktiraf global?

Menurut beliau juga mahasiswa boleh belajar politik dalam universiti  (beliau mengambil contoh kelahiran ahli politik negara lulusan Universiti Malaya seperti Dato Seri Anwar Ibrahim-Dato Saifuddin-Dato Ibrahim Ali-Dato Shabery Chik) namun begitu mahasiswa perlu mengkritik dengan menggunakan forum yang sesuai seperti aktif menulis dan mengamalakan politik yang matang.


Mahasiswa menurut beliau juga perlu  merubah fikiran rakyat seperti ‘mesti masuk universiti kalau tidak mahu gagal’ dan fikiran yang semata-mata dibasuh untuk ‘pergi universiti’sehingga kita mengabaikan hal vokasional-profesional

Beliau juga mengambil contoh kualiti ACCA dan bagaimana dahulu para  pensyarah mengajar secara praktikal;‘real world experience’ dan menurunkan ilmu kepada anak murid dan beliau mahu para pensyarah kini meningkatkan  kualiti pengajaran.

Mahasiswa juga kata beliau perlu bertanggungjawab untuk generasi akan datang dan apa jua tindakan yang ingin dibuat perlulah memikirkan masa hadapan.

Beliau juga mahu diwujudkan ekonomi yang berasaskan ilmu dan diperingkat parlimen pula perlu memprofesionalkan parlimen dan ahli parlimen serta mewujudkan jawatankuasa khas pemikir dalam pelbagai bidang dan beliau mahu para mahasiswa untuk menyambut segala usaha  kerajaan.

Debat sebegini wajar diaktifkan lagi di kampus universiti kita agar mahasiswa kita mampu mendengar pelbagai idea-hujah dan pemikiran seterusnya membentuk pemikiran mereka agar lebih matang dan sedar tentang peranan sebenar mahasiswa di universiti.Mahasiswa wajar menjemput pelbagai tokoh-pakar dalam pelbagai bidang bagi mendengar sendiri pandangan mereka sekaligus menghidupkan kampus universiti dengan pelbagai program ilmu dan program yang membentuk pemikiran dan keintelektualan mahasiswa.

No comments:

Post a Comment