Kereta dipandu laju Imran,seorang pelumba motosikal bahkan
juara kategori 125 cc motorsikal membawa kami menuju ke Kuala Berang,Terengganu.Perjalanan
dari Bandar Baru Bangi ke Kuala Berang tidak terasa sangat jauh memandangkan ia
dipandu laju oleh beliau yang sangat cekap memandu walaupun memandu dengan agak
laju.
Misi kami ke Kuala Berang kali ini ialah untuk menyertai
acara kayak 20 kilometer di Jajaran Sungai Berang,memantau perkembangan
‘homestay’ Kuala Berang Motel yang akan diambil alih pentadbirannya dan juga
mesyuarat bagi membincangkan projek Briged Bakti-Mitra Persatuan Pelancongan
Islam Malaysia –Persatuan Agro Pelancongan Malaysia disana.
Acara kayak 20 kilometer ini merupakan anjuran beberapa
pihak seperti OKB-Orang Kuala Berang ,IMBebest atau Ikatan Memasyarakatkan Batu
Bersurat dan beberapa pihak yang lain dan ia juga merupakan projek bersama DUN
Kuala Berang yang dipimpin oleh YB Tengku Putera.
Sebelum ini Presiden persatuan kami,En Zulkafli Daud bersama
rakan-rakannya di Kuala Berang telah mengadakan beberapa acara berkenaan Batu
Bersurat seterusnya menubuhkan Ikatan Memasyarakatkan Batu Bersurat yang antara
tujuannya untuk memperkembangkan lagi produk pelancongan di Kuala Berang
disamping tidak mengabaikan aspek sejarah khususnya berkenaan Batu Bersurat.
Selain itu juga antara projek yang akan dijalankan di Kuala
Berang ini ialah projek galeri Syeikh Daud Al Fatoni dan dalam kunjungan kami
sebelum ini ke Selatan Thailand(Narathiwat),Sadao@Danok dan Songkla ,kami
sempat ke galeri yang menempatkan pelbagai kitab manuskrip lama karya
tokoh-tokoh Pattani.
Yang menariknya tentang projek pelancongan yang dijalankan
khususnya oleh Presiden kami ialah ia bukan semata-mata menekankan aspek
pelancongan dan perniagaan tetapi juga tidak melupakan aspek keilmuan-kajian
sejarah-khazanah kitab dan tokoh tokoh.Beliau sangat mengharapkan sokongan para
anak muda yang berminat untuk mencebur dalam bidang keusahawanan pelancongan
disamping membuat pelbagai kajian berkenaan sejarah,khazanah kitab dan tokoh.
Berkayak 20 Kilometer
di Jajaran Sungai Berang,Kuala Berang,Terengganu
Di Jajaran Sungai Berang ini kami sempat turut serta dalam program
EXIT-Exploration of Interaktif Tour yang dianjurkan secara bersama oleh
OKB-Orang Kuala Berang ,IMBebest atau Ikatan Memasyarakatkan Batu Bersurat dan
beberapa pihak yang lain .
Acara ini disertai oleh majoriti anak muda termasuk
mahasiswa Universiti Malaysia Terengganu dan hanya kami yang merupakan peserta
yang datang dari Kuala Lumpur.Kami dilayan dengan cukup baik sebagai tetamu.
Acara dimulakan dengan sesi taklimat program oleh wakil
OKB-Orang Kuala Berang dan kemudiannya disusuli dengan sesi pemanas
badan-senaman santai sebelum penyerahan t-shirt program .Kami para peserta
kemudiannya berjalan kaki menuju ke arah sungai dan mengambil segala peralatan
termasuk jaket keselamatan,pengayuh kayak,kayak,sedikit bekalan minuman dan
lain-lain.
Sebelum acara kayak bermula,sesi taklimat keselamatan
diberikan oleh pihak penganjur dan acara ini turut dibantu dari aspek
keselamatannya oleh pihak Balai Bomba Kuala Berang dan Jabatan Pertahanan Awam.Dalam sesi taklimat keselamatan,kami
dinasihatkan agar tidak panik dalam apa jua keadaan termasuk sekiranya kayak
kami terbalik atau kami tenggelam didalam sungai nanti.
Kami memulakan acara kayak beramai-ramai dan merentasi
sungai yang sangat jernih dengan kiri-kanannya dipenuhi dengan daun dan
pokok-pokok besar,udara yang cukup nyawan-sejuk dan pemandangan indah yang
mempesonakan.Kami berkayak agak jauh hampir 4 jam dan dalam perjalanan berkayak
ini kami mengharungi pelbagai cabaran termasuk terpaksa mengelak pelbagai
kayu-kayan,batu dan apa jua halangan yang ada sepanjang sungai.
Kayak yang saya naiki bersama sahabat saya Saiful Ridwan
sempat terbalik sebanyak 2 kali namun kami berjaya meneruskan perjalanan berkayak
sehingga ke akhir penamat.Agak lenguh juga bahu dan tangan akibat berkayak agak
jauh ini dan namun pengalaman berkayak di Jajaran Sungai Berang ini pasti akan
tersemat dalam ingatan selamanya.
Apabila saya memberitahu seorang makcik bahawa kayak yang saya
naiki sempat terbalik sebanyak 2 kali di sungai ,makcik itu menjawab lebih
kurang begini:’Kalau adik tak jatuh tadi,adik tak akan rasa pengalaman jatuh
berkayak di sungai ini’.
Semangat kerjasama dan bantu membantu antara sesama peserta
walaupun baru berkenalan cukup terserlah sewaktu acara berkayak ini.Walaupun
sedikit lucu apabila melihat ada peserta yang tenggelam dan terbalik kayak
mereka disungai namun masing-masing saling berkerjasama dan membantu para
peserta yang berada dalam kesusahan.
Semua peserta selamat sampai di akhir penamat dan disana
acara penutup diadakan dengan sambutan oleh wakil pejabat Belia dan Sukan,wakil
DUN Kuala Berang yang mewakili YB Tengku Putra,ADUN Kuala Berang dan dalam
ucapan mereka cukup berbangga dengan para peserta acara berkayak ini dan
mengharapkan lebih ramai anak muda menyertai acara yang cukup mencabar
ini.Semua peserta kemudiannya bergambar beramai-ramai sebelum makan tengahari
bersama-sama di tepi Sungai Berang ini .
Santai bersama Hj
Ghani MARDI
Pada malam harinya,saya dan rakan-rakan sempat bersama Hj
Ghani,’orang kuat’ MARDI dan kami keluar makan malam bersama di pekan Kuala
Berang sambil menonton bolasepak perlawanan antara Selangor dan Pahang.Sambil makan malam juga,kami berdiskusi santai tentang
beberapa perkara .
Haji Ghani membangkitkan persoalan berkenaan perjuangan alam
sekitar dan kepentingan para pejuang alam sekitar untuk menghimpun kekuatan
rakyat dalam memperjuangkan alam sekitar.Menurut beliau banyak ahli
akademik-profesor yang menulis tesis-tesis berkenaan alam sekitar,banyak siri
seminar berkenaan alam sekitar yang diadakan diseluruh negara namun alam
sekitar kita tetap diceroboh oleh pelbagai pihak.
Beliau turut menceritakan bagaimana suatu masa dahulu era
70an dimana ahli akademik dan sosiologi seperti Prof Syed Hussein Al-atas dan
Dr Syed Husin Ali yang banyak menulis berkenaan isu kemiskinan tetapi dibantu
oleh himpunan kuasa rakyat melalui para mahasiswa yang turut lantang
memperjuangkan isu kemiskinan khususnya di luar Bandar.
Beliau menekankan soal keberanian dalam turun padang di
lapangan bagi memperjuangkan sesuatu isu seperti isu kemiskinan,isu alam
sekitar dan isu-isu yang lain.Kesedaran di pihak rakyat menerusi projek-projek
pendidikan cukup penting dalam menggerakkan kekuatan rakyat dalam berhadapan
dengan kelompok yang tidak menghiraukan aspek perjuangan alam sekitar dan
kehijauan bumi.Beliau turut menegur sesetengah pihak yang tidak serius dalam
menangani masalah sampah sarap,kebersihan sungai,penggunaan plastik dan
lain-lain lagi.
Kami juga berpeluang mendengar pengalaman beliau dan sahabat
baru kami ,Hazrul yang sama-sama bertugas di MARDI dan berkenaan perjuangan pertanian
di negara kita.Mereka berkongsi dengan kami berkenaan penganjuran MAHA di MAEPS
Serdang,keselamatan makanan ,produk-produk keluaran MARDI dan keusahawanan
dalam pertanian.Dalam pembincangan ini,Hj Ghani menyatakan kepentingan negara kita untuk tidak bergantung sepenuhnya
kepada negara lain dalam aspek keselamatan makanan-pertanian dan bencana alam
yang berlaku sejak akhir-akhir ini di Malaysia wajar diberi perhatian oleh
semua pihak sekaligus mengambil berat soal keselamatan makanan di tanah air
kita.
Beliau menekankan kepentingan yakin diri dengan kekuatan
kita sendiri dan mempercayai kualiti produk keluaran negara kita dan sentiasa
berkerja keras merubah sikap,gerak kerja dan pemikiran para petani kita dan
bukan semata-mata bergantung kepada teknologi terkini sahaja.
Haji Ghani yang menggerakkan NGO baru,Persatuan Agro
Pelancongan turut berkongsi kepada kami berkenaan agro pelancongan,apa yang
dipanggil eco edutainment dan kepentingan anak muda untuk belajar dari alam
bukannya setakat belajar didalam kuliah universiti semata-mata.
Bagi beliau generasi terdahulu banyak belajar dari alam dan
apa yang dipanggil sebagai universiti kehidupan dan hal ini boleh diperhatikan
melalui pelbagai pepatah Melayu,pantun,gurindam,sajak dan sastera Melayu yang
banyak berkisar soal alam .Persoalan ‘the living classroom’ ,’book of nature’
,’kitab alam-kitab alkauni’,’ayat Allah’ dan lain-lain ini menarik perhatian
kami yang kebetulan sedang menggerakkan beberapa projek yang punya kaitan
dengan persoalan ini.Semua hal ini pastinya menuntut kita semua untuk terus
berfikir dan mencari jawapan terhadap pelbagai persoalan dalam mengharungi
kehidupan ini.
Sembang santai sambil makan malam yang dipenuhi dengan
pelbagai input berguna dan ilmu bermanfaat ini sangat membantu kami dalam aspek
pengisian keilmuan dalam menggerakkan projek ‘Jaringan Anak Muda’ nanti.Terima
kasih buat Haji Ghani dan saudara Hazrul atas perkongsian mereka.
Di Homestay Kuala
Berang Motel
Sepanjang 2 hari di Kuala Berang,kami tinggal di homestay
Kuala Berang Motel kepunyaan sahabat baik En Zulkafli.Homestay ini akan diambil
alih pentadbirannya nanti dan kami akan membantu bersama-sama untuk
menghidupkannya dengan pelbagai aktiviti kesukarelawanan-perniagaan-kebajikan
dan program anak muda nanti.
Homestay ini cukup sesuai untuk penginapan backpacker dengan
tempatnya yang cukup strategic tidak jauh dari pekan Kuala Berang dan suasana
kelilingnya yang mendamaikan apatahlagi ia dipenuhi oleh pokok-pokok kehijauan
dan berdekatan sungai.Didalam homestay ini turut terdapat rumah burung dimana
para pengunjung yang menetap disini dapat mendengar kicauan burung khususnya
pada awal pagi.
Berdekatan sungai juga terdapat beberapa pondok untuk berehat
dan terdapat kawasan yang dibina seakan ‘colosseum ‘yang sangat sesuai untuk diadakan acara santai
dan budaya.Dengan berlatarbelakangkan sungai,saya dan Saiful Ridwan sempat berehat
santai dan membaca sajak disini.Landskap taman bunga yang menghiasi homestay
ini juga sangat cantik dan terdapat bilik yang diperbuat daripada kayu
sepenuhnya dan para pengunjung berpeluang untuk menginap disini dalam keadaan
yang cukup selesa.Kawasan tanah lapang dihadapannya juga cukup sesuai untuk
diadakan acara kem- perkhemahan disamping terdapat kemudahan-kemudahan lain
seperti kemudahan kafe,dewan,surau,bilik air,bilik mandi dan lain-lain.
Menurut perancangan En Zulkafli,homestay ini boleh dijadikan
tempat persinggahan buat mereka yang mahu menyertai pelbagai acara yang bakal
diadakan di Kuala Berang ini.Beberapa acara menarik akan diadakan di Kuala
Berang ini antaranya seperti acara berkayak di
sungai,basikal,motorsikal,’jungle trackking’,seminar batu bersurat,pameran
karya tokoh dan banyak lagi.
Sewaktu makan kek yang dibeli oleh Dr Majid dan isteri,kami juga sempat membincangkan
beberapa projek yang boleh diadakan di homestay ini khususnya untuk
menghidupkan homestay ini dengan pelbagai acara.Antara projek yang dicadangkan
termasuklah siri kursus-seminar,bengkel memasak-membuat roti-multimedia,program
bersama NGO-pihak universiti-sekolah dan banyak lagi.
Kami juga sempat mengadakan mesyuarat bersama untuk merangka
projek yang bakal diadakan di homestay ini nanti dan sempat bergotong royong
mencuci homestay ini yang sekarang ditutup buat sementara waktu untuk proses
pemulihan sebelum dibuka semula nanti dibawah pentadbiran yang baru pula.
Homestay ini nanti boleh dimanfaatkan oleh semua pihak
khususnya untuk mereka yang mahu menyertai pelbagai acara yang bakal diadakan
di Kuala Berang nanti.
Melawat Memorial Batu
Bersurat
Kami sempat juga melawat Memorial Batu Bersurat di Kuala
Berang ini.Memorial ini diwujudkan untuk mengenang tempat dijumpainya batu
bersurat dan ia dikendalikan oleh pihak Muzium Terengganu.
Memorial ini sedikit suram dan dalam buku catatan yang
terdapat di memorial ini ,kami mencadangkan beberapa perkara khususnya untuk
menceriakan suasana memorial ini,memenuhkannya dengan pelbagai fakta dan
maklumat berkenaan batu bersurat,mewujudkan booth yang menerangkan tentang batu
bersurat,mengindahkan tempat bergambar disini dan sebagainya.
Maksud yang
tertera dalam batu bersurat itu juga perlu dijelaskan lagi agar ia difahami oleh
para pelancong yang berkunjung ke sini.Sejarah batu bersurat yang cukup penting
ini wajar didedahkan kepada semua rakyat Malaysia khususnya anak muda agar
sejarahnya dapat dipelajari sekaligus menjadi pedoman buat semua pihak.
Melawat Makam Tok
Gajah
Dari Memorial Batu Bersurat,kami meneruskan perjalanan ke
Makam Tok Gajah.Makam Tok Gajah,seorang pahlawan ternama Melayu yang berjuang
menentang Inggeris dan merupakan ayah kepada Mat Kilau ini juga cukup suram dan
seakan-akan tidak dijaga dengan baik.Sejarah perjuangan beliau sepatutnya
didedahkan kepada orang ramai makam ini wajar diceriakan dan juga wajar
dipenuhi dengan segala maklumat berkenaan perjuangan Tok Gajah ini.
Makam tokoh pahlawan besar yang seolah-olah sekadar
dijadikan seakan kubur semata-mata tidak
mampu menarik perhatian anak muda untuk mempelajari tentang tokoh
pahlawan ini dan oleh kerana itu pihak berwajib wajar mengambil berat dalam
aspek keceriaan dan pengisian maklumat berkenaan tokoh pahlawan Melayu ini agar
sejarah perjuangan Tok Gajah ini tidak diabaikan oleh generasi baru.
No comments:
Post a Comment