Sunday, February 8, 2015

Diskusi santai 'Nusantara'-Melayu Raya




Kami juga sempat berdiskusi panjang bersama Dr Suryadi dari Institusi Nusantarajaya dan rakan-rakannya membincangkan pelbagai topik khususnya berkenaan Melayu-Nusantara dan kerjasama usahawan antara rakyat Indonesia dan Malaysia.


Topik ini amat digemari oleh Saiful Ridwan dan mendengar pembentangan semangat oleh Dr Suryadi tentang Melayu-Nusantara sungguh mengasyikkan.Saya bergilir-gilir dari pertemuan bersama Fadlinisa-Ranitya-Rasma dan pertemuan disebelah meja berlainan dibelakangnya bersama Dr Suryadi dan rakan-rakan.Kedua-dua pertemuan ini cukup penting bagi saya dan oleh kerana itu saya mahu mendengar dan terlibat sama dalam kedua-duanya walaupun agak mustahil terlibat seratus peratus memandangkan ia berjalan serentak.

Saiful Ridwan memanggil saya menyertai perbincangan hangat bersama Dr Suryadi dan rakan-rakan dan saya menerangkan berkenaan MIB yang menarik perhatian mereka.Pada asalnya saya sudah berbincang bersama Saiful Ridwan sebelum ini berkenaan topik MIB-Melayu Islam Beraja yang dibawa oleh tokoh pemikir Brunei yang pernah saya temui sebelum berbincang sekali lagi dengan sahabat Indonesia di Universiti Malaya iaitu Tofan Rachmat dan rakan-rakan.

Dalam perbincangan saya dan Saiful Ridwan sebelum ini saya menyatakan hasrat untuk menganjurkan kembara ASEAN ke negara-negara ASEAN yang dimulakan dengan MIB juga iaitu Malaysia-Indonesia dan Brunei.Manakala dalam perbincangan bersama Tofan Rachmat berkenaan Melayu Raya pula timbul cadangan berkenaan penubuhan organisasi tidak rasmi antara anak muda Malaysia,Indonesia dan Brunei.

Dalam perbincangan kami di sebuah warung di Bangsar pada malam itu kami sepakat walaupun dengan nada sedikit bergurau tentang peranan Indonesia selaku ‘abang’ untuk menjadi Pengerusi,Malaysia yang mempunyai pengalaman pentadbiran sebagai Setiausaha Agung dan Brunei yang dilimpahi kekayaan sebagai Bendahari.

Persoalan ini saya kupas kembali sewaktu berdiskusi bersama Dr Suryadi dan rakan-rakan dan mereka bertanyakan saya tentang jaringan di Brunei yang mana kami di jaringan anak muda sememangnya memiliki jaringan disana juga.Mereka lantas bertanyakan ‘kapan kita mau ke Brunei?’ dan kembara ke Brunei sememangnya ada dalam perancangan kembara kami  sebelum ini iaitu selepas kembara di Indonesia ini sesuai dengan urutan MIB-Malaysia ,Indonesia,Brunei.

Kembara di Brunei yang saya bincang bersama Saiful Ridwan sebelum ini ialah susulan kembara saya ke Brunei suatu ketika dahulu mengikuti IAIS sebagai sukarelawan pada acara FOSIS di Universiti Brunei Darussalam yang dihadiri oleh nama-nama besar ahli akademik seperti Prof Emeritus Dato Dr Osman Bakar,Prof Dr Tariq Ramadhan,Prof Mulyadhi Kartanegara dan ramai lagi dan pertemuan saya di satu kedai buku di Madinah bersama Pehin Abdul Aziz ,mantan Menteri Pendidikan Brunei yang merupakan juga penasihat kepada Sultan Brunei .

Konsep Melayu-Nusantara ini wajar dibahaskan lagi dan saya berasa teruja apabila Dr Suryadi menceritakan pengalaman beliau menganjurkan beberapa program berkenaan topik ini dan beliau memberitahu saya dan Saiful Ridwan bahawa beliau akan mengirim beberapa dokumen artikel berkenaan topik yang cukup menarik ini kepada saya dan Saiful Ridwan.

Bukan sahaja soal jaringan keusahawanan yang dibincangkan,persoalan berkenaan survival bangsa dan negara juga dibahaskan dalam pertemuan yang cukup bermakna ini.

No comments:

Post a Comment