Allahyarham nenek saya membuat sendiri minyak angin untuk
rawatan perubatan dengan menggunakan biji kurma.Manakala allahyarham datuk saya
membuat sendiri lampu hiasan yang dikelilingnya dipenuhi dengan kaligrafi khat
karya beliau sendiri.
Kedua-dua mereka walaupun tanpa menuntut dimana-mana
universiti mahupun pusat pengajian tinggi berupaya memiliki ilmu dan kemahiran-kemahiran
tersebut.Barangkali kita boleh katakan mereka sebenarnya belajar semua itu di ‘universiti
kehidupan’ -‘university of life’ .
Ini membuatkan saya berfikir tentang betapa pentingnya
sistem pendidikan kita memberi penekanan kepada soal kemahiran ,melahirkan
pelajar yang mampu menghasilkan sendiri pelbagai produk dan sesuatu yang
memberi manfaat kepada masyarakat.
Kita dapat melihat bagaimana generasi terdahulu dengan
kemahiran yang mereka miliki mampu menghasilkan sendiri misalnya senapang daripada
kayu,lastik burung,reban ayam,pondok wakaf,pasu daripada suratkhabar buangan,almari
kayu,kerusi, dan banyak lagi yang boleh disenaraikan .
Dari daun-daun,kayu,besi,dan barang-barang buangan misalnya
mereka memanfaatkan sebaik mungkin untuk mencipta sesuatu yang boleh
digunapakai dalam kehidupan harian mereka.
Bagaimana pula dengan para pelajar kita sekarang ini?Apakah
mereka mampu mencipta sesuatu ataupun sekadar menjadi pengguna barang-barang
buatan orang lain buat selama-lamanya?Mampukah mereka berfikir,menghasilkan
idea-idea baru,mencipta,menyelesaikan masalah dan menjalankan projek-projek
yang membantu masyarakat keseluruhannya ataupun hanya sekadar terperangkap
dalam satu sistem pendidikan yang membosankan ?
Sistem pendidikan kita pastinya akan lebih menarik sekiranya
kita dapat melihat para pelajar kita berlumba-lumba menghasilkan sesuatu hasil
tangan mereka sendiri dan para pelajar dapat melihat sendiri hasil tangan
mereka itu dihargai oleh masyarakat.
Para pelajar kita wajar dididik untuk lebih banyak mencipta
dan menghasilkan sesuatu produk sendiri melalui latihan-latihan kemahiran dan
latihan-latihan kemahiran ini bukanlah hanya diterapkan kepada para pelajar
yang mengambil sijil-diploma kemahiran semata-mata.
No comments:
Post a Comment