Sunday, February 8, 2015

Perjumpaan bersama teman-teman Asean YouthPreneur



FX Sudirman

Pagi ini dari asrama PII saya berjalan kaki seorang diri sekitar kawasan berdekatan stesyen Gondang Dia untuk melihat suasana pagi dan kehidupan rakyat disini.Sejak awal pagi kelihatan para peniaga mula menyusun barang-barang untuk dijual dan orang ramai bergegas ke stesyen Gondang Dia untuk ke destinasi masing-masing.Jika dalam kunjungan terdahulu saya akan berjalan kaki setiap pagi dari asrama PII ke dataran Monas dan kali ini saya memilih untuk berjalan kaki ke kawasan yang belum saya pernah kunjungi lagi.Agak teruja melihat kehidupan rakyat disini yang sangat kuat berkerja ,berbudi bahasa dan manis senyuman mereka.

Selepas bersarapan pagi di asrama PII,kami  bersiap-siap untuk ke FX Sudirman.Di FX Sudirman nanti kami akan bertemu Vivi dan rakan-rakan Asean YouthPreneur dari Indonesia.Dari asrama PII kami menaiki teksi ke FX Sudirman.FX Sudirman merupakan satu kompleks membeli belah yang agak besar dan terletak di tengah-tengah kota Jakarta.

Kami bertemu dengan Vivi dan rakan-rakan Asean YouthPreneur di sebuah restoran Sushi dan berkenalan dengan sahabat-sahabat baru Asean YouthPreneur .Kebanyakan mereka merupakan usahawan muda berumur sekitar 21-25 tahun yang aktif dalam kegiatan mereka di Universitas Indonesia, Depok dan mengusahakan jualan produk perniagaan seperti tudung-lampu-pembungkus kasut dan ada juga dari mereka yang terlibat dalam hal penulisan dan media.






Pertemuan ini diatur sebagai persediaan buat pasukan AseanYouthPreneur  yang akan bertemu Timbalan  Menteri Pemuda dan Olahraga Indonesia selepas solat Jumaat nanti.

Kebetulan pagi ini juga saya mendapat undangan untuk hadir ke satu acara anjuran Indonesian Conference on Religion and Peace(ICRP) yang diadakan di Persekutuan Gereja Indonesia namun saya memaklumkan kepada pihak penganjur akan tiba agak lewat kerana menyelesaikan urusan Asean YouthPreneur dan pertemuan di Kementerian Pemuda dan Olahraga terlebih dahulu.

Dalam pertemuan di FX Sudirman ini,sahabat dari Indonesia diketuai Vivi membentangkan kepada kami konsep cadangan penubuhan Asean YouthPreneur yang akan dibawa ke pembentangan dihadapan Timbalan Menteri Pemuda dan Olahraga nanti.Penubuhan Asean YouthPreneur yang diasaskan oleh Vivi dan sahabat-sahabatnya ini untuk permulaannya akan digerakkan oleh usahawan muda  kedua-dua negara iaitu Indonesia dan Malaysia.

Vivi yang merupakan kenalan saya dan Saiful Ridwan sewaktu kami menyertai acara Interfaith Summit 2010 di Bali dahulu pernah juga berkerjasama dengan Persatuan Pelajar Indonesia di Universiti Malaya yang juga diketuai oleh sahabat alumni Interfaith Summit 2010 ,Bali iaitu Firmansyah dimana mereka menganjurkan Asean Economy Community Forum di Universiti Malaya dan saya sempat menjadi juri hakim dalam satu slot pembentangan kumpulan.

Kami kemudiannya menunaikan solat Jumaat di masjid Kementerian Pemuda dan Olahraga dimana khatib menghuraikan persoalan menghargai waktu yang cukup membuatkan saya berfikir tentang waktu yang telah dihabiskan dan betapa ruginya membazirkan waktu ketika lapang dahulu.Sekarang rasanya semakin hari saya semakin sibuk dan persoalan menghargai waktu ini cukup penting untuk diperingatkan kepada kita semua.

No comments:

Post a Comment