Thursday, February 5, 2015

Di asrama PII dan Taman Ismail Marzuki



Di asrama PII dan Taman Ismail Marzuki

Kami akhirnya tiba di kompleks pejabar Pelajar Islam Indonesia(PII) dan terus ke  Masjid PII dan disana kami bertemu Pak Ahmad, alumni PII .Kami berehat sebentar sebelum bersembang-sembang dengan beliau sementara menanti ketibaan wakil PII yang akan menyambut kami.Pak Ahmad sempat berkongsi pengalaman beliau bersama PII dan beliau mengenali beberapa orang tokoh PKPIM-ABIM-WADAH. 

Menurut Pak Ahmad,PII merupakan gerakan bebas yang tidak mendapat dana kewangan kerajaan namun atas dasar mandiri dan berdikari mereka tetap lantang bersuara menyatakan kebenaran .Sumbangan kewangan mereka perolehi hasil sumbangan ikhlas orang ramai dan juga para alumni yang telah berjaya dalam bidang masing-masing yang terus membantu organisasi yang pernah melatih mereka suatu ketika dahulu.

Kami kemudiaannya bertemu dengan pimpinan pengurus besar PII dan wakil PII Wati,sayap wanita bagi PII dan mereka membawa kami ke bilik asrama PII ,tempat penginapan kami malam ini.

Dalam kompleks pejabat PII ini,terdapat sebuah masjid besar lengkap dengan pelbagai kemudahan,warung makan,dan asrama pelajar lelaki dan perempuan.Asrama pelajar ini menempatkan para aktivis PII yang datang ke sini dari seluruh Indonesia dan didalam kompleks ini jugalah mereka mengadakan pelbagai program latihan  kepimpinan pelajar. Kunjungan ke sini pertama kali beberapa tahun dahulu membuatkan saya sehingga kini mengingati satu kata-kata menarik hasil bacaan di pelekat PII yang ditampal di almari pelajar iaitu 'Biar Berbeda Tetap Bersaudara ! '

Kami berehat sebentar sebelum menemui pimpinan pengurus besar PII untuk saling berkenalan,bersembang-sembang tentang pelbagai isu termasuk tentang latihan kepimpinan dan aktiviti-aktiviti  PII, kisah tokoh Indonesia yang merupakan alumni PII,beberapa perbezaan bahasa Indonesia-Malaysia,perniagaan aktivis PII dan isu-isu yang diperjuangkan oleh PII.




Randi,Ketua Umum PII yang baru pulang dari program PII dari Kalimantan kemudiannya bersama-sama kami dan saya akhirnya dapat bertemu beliau selepas berkenalan di alam maya melalui Facebook.Sebaik sahaja mengetahui beliau dilantik sebagai Ketua Umum PII,saya menambah beliau sebagai kawan di FB dan sebelum ke Jakarta saya telah memaklumkan kepada beliau tentang kunjungan kami ke Jakarta dan keinginan untuk menziarahi PII.

Bersama-sama beberapa orang pimpinan pengurus besar PII,kami kemudiannya berjalan kaki dari asrama PII ke Taman Ismail Marzuki.


Taman Ismail Marzuki

Beberapa tahun dahulu saya juga dibawa oleh pimpinan PII ke Taman Ismail Marzuki ini dan kami makan malam bersama disini.Pada kali ini kami tiba agak lewat di Taman Ismail Marzuki dan hanya melihat suasana malam taman ini dan berjalan-jalan bergambar walaupun sempat melihat sekelompok anak muda mengadakan latihan tarian disini.

Taman Ismail Marzuki yang terletak tidak begitu jauh dari pejabat PII ini merupakan satu pusat budaya- seni- teater- tarian yang terkenal dengan pelbagai acara budaya dan ia bertindak seakan-akan Istana Budaya di Malaysia walaupun Istana Budaya kelihatan elit dan jauh dari kawasan penduduk tidak seperti Taman Ismail Marzuki yang tempatnya mudah dicari dan menjadi pilihan orang ramai untuk melepak santai sambil mengikuti acara budaya.

Program baca puisi-sajak,nyanyian,tarian,teater,muzik dan apa sahaja yang berkaitan budaya sering diadakan disini disamping terdapat juga kedai buku di Taman Ismail Marzuki ini.

No comments:

Post a Comment