Thursday, February 5, 2015

Lawatan ke Freedom Institute dan pertemuan bersama Ulil Absyar Abdalla



Lawatan ke Freedom Institute dan pertemuan bersama Ulil Absyar Abdalla

Kami tiba di lapangan terbang Soekarno Hatta lewat malam awal pagi dan mengambil keputusan 'menginap' di lapangan terbang Soekarno Hatta sementara menunggu ketibaan pengarah kembara,effendy.
Selepas Effendy tiba,kami menaiki bas Damri menuju ke Gambir dan disana terus menaiki teksi ke Freedom Institute.
 

Kenalan saya di Freedom Institute ialah Nong Darol Mahmada .Kami bertemu pertama kali sewaktu acara global peace di Kuala Lumpur.Saya menghubungi beliau menyatakan akan ke Jakarta dan mahu melawat Freedom Institute .Dan melalui Fb beliau mencadangkan hari dan waktu yang paling sesuai dan kebetulan hari itu pimpinan Freedom Institute berkumpul untuk satu mesyuarat.Pertama kali saya ke Freedom Institute sewaktu menghadiri satu acara pemuda di Jakarta dan ketika itu saya mencari sendiri lokasinya dan lepak lama di perpustakaannya.Perpustakaan Freedom Institute memiliki koleksi buku yang terbaik.

Sebaik sahaja tiba di sana,saya terus mencari Nong dan beliau membawa kami ke bilik mesyuarat dan berjumpa pimpinan Freedom Institute yang baru selesai mesyuarat.Tidak disangka sangka saya akhirnya bertemu Ulil Absyar Abdalla,pengasas Jaringan Islam Liberal yang sudah lama saya menekuni tulisan-tulisan aktivisnya.



Kami berdiskusi santai pelbagai isu bermula dari pengenalan kepada Jaringan Anak Muda dan misi kembara backpacker kami.Saya memaklumkan kepada pimpinan Freedom Institute tentang kegiatan Jaringan Anak Muda misalnya siri diskusi santai,bedah buku,kehadiran ke pelbagai siri seminar,bertemu tokoh,kembara dll dan mereka teruja apabila saya menyatakan kami turut membaca karya tokoh Indonesia seperti Gus Dur,Nurcholish Madjid,Syafii Maarif dll.Dan apabila saya memberitahu mereka kami turut membaca buku tokoh Turki misalnya Fethullah Gulen ,ada pimpinan Freedom Institute yang bertanyakan kami samada turut membaca karya Orhan Parmuk.

Pertemuan dan diskusi kami bersama pimpinan Freedom Institute menjadi lebih rancak dengan celoteh serius tapi santai oleh Dr Rizal Mallarangeng yang mengutarakan pelbagai idea pemikiran yang menarik.Pada mulanya saya tidak mengetahui beliau ialah Dr Rizal Mallarangeng .Nama beliau saya kenali melalui laman web Freedom Institute dan saya pernah bertemu dengan adik beliau yang merupakan mantan Menteri Pemuda dan Olahraga Indonesia.Beliau berkongsi pemikiran beliau berkenaan corak pemikiran beragama di Indonesia,Malaysia dan perbandingan dengan Brunei.Bagi beliau Malaysia walaupun kurang terbuka berbanding Indonesia namun tetap terbuka berbanding Brunei.

Ketika itu Ulil Absyar berkongsi pandangan beliau berkenaan kebebasan termasuk tentang isu beliau dilarang ke Malaysia,pengharaman buku,kebebasan bersuara dll.Ulil Absyar menyatakan kepada saya beliau agak terganggu dengan larangan tersebut walaupun beliau masih mampu menyampaikan pemikiran beliau melalui skype,twitter dan sebagainya.Beliau menghuraikan tentang pemikiran beragama tokoh Mesir suatu ketika dahulu yang cukup terbuka dan bagaimana Buya Hamka ,Sukarno turut dipengaruhi oleh pemikiran terbuka tokoh Mesir ketika itu.Beliau turut membandingkannya dengan pemikiran para alumni Mesir-Arab Saudi kini khususnya generasi baru yang masih ramai berpegang kepada pemikiran yang agak sempit dalam beragama.

Dalam perbincangan kami juga pimpinan Freedom Institute menjelaskan tentang semaraknya fenomena selebriti twitter-fb dan bagaimana pihak yang radikal dan membawa pemikiran sempit dalam beragama menjadi cukup popular.

Dari isu pemikiran beragama membawa kepada isu seni budaya dan sastera dan salah seorang penggerak program budaya turut mengundang kami ke Komunitas Salihara .





Selesai diskusi santai bersama pimpinan Freedom Institute kami dibawa melawat ke perpustakaannya dan disini saya sempat bertemu Igede Pandu,sahabat yang sama-sama mengikuti acara Interfaith Summit di Bali dan beliau pernah mengikuti acara yseali di Kuala Lumpur.

Kami diberi taklimat oleh ketua sayap pemuda bagi Freedom Institute dan merancang program kerjasama akan datang.

Sebelum berpisah dengan pimpinan Freedom Institute kami menyatakan mahu turut serta dalam sebarang acara anjuran Freedom Institute dan mereka sangat mengalu-alukannya.

Terima kasih buat semua pimpinan Freedom Institute khususnya buat sahabat saya Nong Darul Mahmada yang mengatur pertemuan bermakna ini.

No comments:

Post a Comment