Wednesday, February 25, 2015

Pilihanraya kampus UM



Pilihanraya Kampus Universiti Malaya memang sering diberi perhatian oleh pelbagai pihak sejak dahulu lagi.Entah mengapa itu kita kurang pasti dan memerlukan kajian yang lebih terperinci.Barangkali kerana ia mempunyai nilai sejarah gerakan mahasiswa yang tersendiri dan sentiasa sejarah baru tercipta di Universiti Malaya oleh gerakan mahasiswanya.

Pilihanraya kampus di UM ini merupakan salah satu dari pelbagai medan untuk melatih pemimpin muda dan pemimpin pelapis kepimpinan negara.Oleh kerana itu ia tidak boleh dilihat misalnya sebagai perlawanan antara Penggerak Mahasiswa VS Pro Mahasiswa semata-mata.Apatah lagi mengaitkan ia sepenuhnya dengan perlawanan antara mahasiswa Pro Barisan Nasional VS mahasiswa Pro Pakatan Rakyat.

 Pilihanraya kampus di UM ini wajar menjadi  satu proses pendidikan gerakan mahasiswa dan medan mahasiswa membawa suara mahasiswa.

Oleh kerana itu sebarang  campur tangan dari pihak HEP,pentadbiran kolej atau sesiapa sahaja terhadap perjalanan pilihanraya kampus ini perlu ditolak dan mahasiswa perlu diberi kebebasan untuk memilih calon pemimpin terbaik pilihan mereka sendiri melalui proses pilihanraya yang adil dan memberi layanan yang saksama kepada semua calon yang bertanding.

Mahasiswa perlu memanfaatkan sebaik mungkin masa mereka dalam tempoh  pendidikan di universiti untuk belajar sebanyak mungkin ilmu dan kemahiran dan sebenarnya juga pilihanraya kampus ini boleh mengajar pelbagai ilmu dan kemahiran yang barangkali tidak dapat  diraih oleh mahasiswa dalam dewan kuliah.Pendidikan politik pilihanraya kampus perlu diperkasakan agar ia tidak menjadi ruang politik sempit semata-mata.

Kempen,manifesto,sesi penerangan dalam pilihanraya kampus wajar mengupas secara mendalam soal yang lebih besar misalnya fungsi sebenar,objektif-tujuan penubuhan,falsafah  dan makna sebenar sesebuah universiti serta peranan sebenar kelompok mahasiswa.

Gerakan mahasiswa juga perlu lebih aktif membahaskan soal budaya  ilmu mahasiswa dan sentiasa komited menggalakkan mahasiswa untuk sentiasa aktif dalam kegiatan seperti kegiatan berfikir,menulis,membaca,berdiskusi,menyelidik,bedah buku,membahaskan pemikiran serta menghasilkan idea- idea yang segar dan dapat dimanfaatkan untuk pembangunan negara.

Budaya takut untuk bersuara,menyatakan pandangan peribadi,mengemukakan idea dan suara mahasiswa perlu dikikis dalam jiwa mahasiswa dan mahasiswa perlu sentiasa berani dalam memperjuangkan kebenaran.

Gerakan mahasiswa perlu melawan usaha melarikan fungsi sebenar universiti,campur tangan syarikat –syarikat besar,terlampau mengikut rentak pasaran ,terlampau mengejar ranking dan piawai antarabangsa seolah-olah kita tidak memiliki acuan yang tersendiri dalam menghidupkan universiti di Malaysia mengikut konteks kemalaysiaan .

Gerakan mahasiswa juga perlu menghidupkan universiti sebagai pusat pertarungan atau percambahan idea dimana pemikiran dan idea-idea besar dibahaskan oleh mahasiswa itu sendiri serta menggerakkan usaha memantapkan mahasiswa di kampus universiti dengan gerakan idea-gerakan intelektual sesuai dengan taraf sebagai mahasiswa universiti.

Dasar-dasar kerajaan misalnya perlu dibahaskan oleh mahasiswa  dan pelbagai persoalan tentang kenegaraan dan hal ehwal dunia perlu dibincangkan oleh mahasiswa.

Melalui pilihanraya kampus juga kita mengharapkan kesedaran  terhadap isu rakyat dan kemasyarakatan terus digerakkan oleh mahasiswa yang perlu sentiasa memahami permasalahan sebenar masyarakat.Universiti,mahasiswa dan masyarakat jangan sesekali dipisahkan dan mahasiswa di universiti jangan sesekali berkhayal dan hidup dalam suasana kampus yang terpisah daripada permasalahan masyarakat setempat.

Mahasiswa perlu bersuara dalam pelbagai isu kemasyarakatan seperti isu kemiskinan,jenayah,peningkatan kos sara hidup,kenaikan harga barang,masalah perumahan dan sekaligus cuba menawarkan jalan penyelesaian setakat mana yang mampu dibuat oleh mahasiswa.

Isu yang dekat di hati mahasiswa seperti kebajikan mahasiswa,persoalan pinjaman-biasiswa pendidikan mahasiswa,pengangkutan,penginapan,keselamatan dan kualiti  makanan dalam kampus juga wajar diberi perhatian dalam keghairahan berkempen sewaktu pilihanraya kampus.

Kadangkala kita mendengar rungutan dari mahasiswa tentang bagaimana masih ada mahasiswa yang terpaksa ‘ikat perut’, latar belakang keluarga yang miskin-kesempitan hidup,anak yatim,pelajar istimewa oku yang terabai kebajikan mereka.

Selain itu juga terdapat rungutan mahasiswa berkenaan perkhidmatan pengangkutan bas  dalam kampus yang sering lewat  dan tidak menepati masa,masalah penginapan-sewa rumah yang semakin meningkat,kemudahan tempat letak kereta/motor di kolej kediaman mahasiswa,kes kecurian-pecah rumah dan tahap kualiti makanan di kafe  kampus yang kurang memuaskan.

Kita juga mengharapkan persoalan perpaduan antara mahasiwa pelbagai kaum dan agama,hubungan antara mahasiswa dan pensyarah juga diperjuangkan disamping usaha menjadikan mahasiswa berdikari melalui program keusahawanan mahasiswa bahkan mewujudkan koperasi mahasiswa itu sendiri.

Usaha menjadikan kampus universiti sebagai  kampus hijau yang mesra alam,persekitaran yang selamat,dan melahirkan budaya hidup sihat dalam kalangan mahasiswa juga wajar diberi penekanan oleh mereka yang bertanding dalam pilihanraya kampus ini.

Kehadiran pelajar antarabangsa dari pelbagai negara sangat dialu-alukan namun usaha untuk memastikan pelajar antarabangsa ini untuk menguasai Bahasa Melayu masih kurang diberi penekanan dan ia sangat berbeza jika rakyat Malaysia yang menuntut ilmu di luar negara yang tidak dapat tidak mesti menguasai bahasa negara tersebut.

Oleh kerana itu wajar digerakkan usaha untuk menggalakkan pelajar-pelajar antarabangsa ini mempelajari Bahasa Melayu, adat-budaya Malaysia(misalnya dengan mengaktifkan penglibatan mereka dalam program budaya Malaysia) disamping menggalakkan semua mahasiswa untuk berkerjasama membina  hubungan jaringan persaudaraan mahasiswa pelbagai negara sejak di kampus universiti lagi.

Mahasiswa juga perlu sentiasa peka terhadap Isu semasa antarabangsa dan apa yang sedang berlaku diseluruh dunia kini.Kehidupan mahasiswa di kampus universiti jangan sampai menyebabkan mahasiswa mengabaikan keprihatinan terhadap krisis kemanusiaan yang berlaku di negara seperti Palestin,Iraq,Afghanistan,Syria,Mesir,permasalahan Rohingya,Selatan Thailand,Afrika dan lain-lain dan kelompok mahasiswa wajar digerakkan untuk menjadi barisan utama anti peperangan dan pro kemanusiaan.

Persoalan meningkatkan kualiti mahasiswa melalui penguasaan pelbagai ilmu( bukan semata-mata dalam bidang pengkhususan) dan kemahiran(misalnya kemahiran pidato-pengucapan awam-pembentangan,komunikasi-PR,penguasaan pelbagai bahasa,kemahiran berfikir dan lain-lain juga wajar ditekankan sewaktu pilihanraya kampus nanti.

Pastinya kualiti akhlaq-adab-karakter peribadi mahasiswa itu sendiri perlu dibicarakan dan difikirkan usaha pembentukan semua kualiti mahasiswa tersebut.

Pilihanraya kampus ini diharapkan dapat menyerlahkan kualiti sebenar mahasiswa kita seterusnya melatih mereka dalam soal kepimpinan dan pengurusan .Yang jauh lebih penting juga pastinya sewaktu mengisi kemenangan pasca pilihanraya kampus itu nanti .

Kepada mahasiswa yang bertanding mahupun yang bakal mengundi pada pilihanraya kampus ini nanti , kita mahu bertanyakan kepada mereka,anda mahu mengisi kemenangan pasca pilihanraya kampus itu nanti dengan apa?

No comments:

Post a Comment