Thursday, February 26, 2015

Syarahan sahabatku Mohamad Omar,Ramadhan Foundation




Selepas ucaptama Tun Dr Mahathir Mohamad sempena Putrajaya International Islamic Forum,saya mendengar pidato sahabat saya,saudara Mohamad Omar,Pengerusi Ramadhan Foundation yang berpusat di UK dan UAE.Beliau yang saya kenali sejak beberapa tahun dahulu sewaktu  bersama-sama menghadiri sebuah acara di Kuala Lumpur telah menghantar mesej kepada saya melalui Facebook mengajak saya hadir ke acara beliau.Kami bertemu kembali selepas Tun Dr Mahathir tamat menyampaikan ucaptama. 

Dalam pidato beliau menekankan kepenting memperjuangkan keamanan dan bersikap toleran sesama manusia.Bagi beliau kita perlu melawan kelompok eskstrimis seperti ISIS,Boko Haram,Al Qaeda,Taliban dan juga Osama Ben Laden.

Dalam Al-Quran kata beliau ia menggunakan istilah ‘wahai manusia’ dan ini bermakna mesej kita perlu memperjuangkan kemanusiaan keseluruhannya dan tidak terhad kepada umat Islam semata-mata.
Soal kepelbagaian-perbezaan wajar ditangani dengan sebaik mungkin dan kewujudan pelbagai kaum-agama adalah lumrah hidup dan ia menurut Al-Quran adalah untuk kita saling kenal-mengenal antara satu sama lain.

Beliau menyatakan bahawa kita mesti menolak kelompok yang berperang atas nama tuhan dan melakukan apa jua bentuk keganasan di seluruh dunia.

Umat Islam juga perlu beramal dengan amalan sebenar Al-Quran dan mencontohi tauladan Nabi dengan segala karakter ,amalan dan akhlaq yang mulia.

Islam masuk ke sini alam Melayu Nusantara ini kata Mohamad Omar adalah juga melalui para pedagang dari Hadramaut   dan kerana akhlaq mulia dan amalan baik yang dipamerkan oleh mereka.

Beliau juga membawa sebuah kisah bagaimana seorang bukan Islam yang beranggapan wujud 2 versi Al-Quran setelah melihat isi kandungan sebenar Al-Quran yang berbeza dengan amalan  kebanyakan umat Islam pada masa kini.Tindakan sesetengah umat Islam pada masa kini yang tidak mengikut ajaran sebenar Al-Quran sehingga orang bukan Islam mendapati bahawa umat Islam dan Al-Quran itu idak sama.

Beliau juga menasihatkan umat Islam di Malaysia agar tidak terbawa-bawa dengan krisis Sunni vs Syiah perang sektarian ini yang menambahkan lagi luka umat Islam dan masing-masing mengutuk orang lain dan mendakwa kelompok lain akan masuk neraka.

Beliau mengharapkan umat Islam saling menghormati perbezaaan pandangan dan mengikut adab ikhtilaf dan rajin menuntut ilmu termasuk kitab-kitab klasik para ulama agar mampu melawan pemahaman  ekstrimis,pemikiran sempit dan kejahilan.

Sejarah perlu kembali dirujuk dan dipelajari dan umat Islam dinasihatkan agar sentiasa berlaku adil kepada semua orang dan belajar bagaimana mewujudkan kehidupan yang  aman damai.
Hal ini mampu dilakukan sekiranya kita kembali kepada karakter umat Muhammad dan menunjukkan contoh etika-moral yang terbaik.

Mohamad Omar juga menasihatkan agar kita tidak terpengaruh dengan fahaman ‘khawarij’ dan mereka yang jahil serta tidak dipergunakan dan diperbodohkan mereka sehingga sanggup membunuh manusia  yang tidak berdosa termasuk perempuan dan kanak-kanak.

Beliau mengupas pandangan Saidina Ali tentang persaudaraan dalam  agama dan persaudaraan  kemanusiaan  dan menyatakan zaman sekarang ini juga merupakan satu zaman fitnah yang hebat berleluasa.

Jihad dan tanggungjawab  umat Islam di Malaysia sekarang ini kata beliau ialah berkhidmat kepada Malaysia dan sentiasa memiliki karakter-sikap dan  amalan baik,sentiasa merubah sikap ke arah kebaikan dan sentiasa mencontohi kekayaan tradisi sejarah warisan islam termasuk tokoh-tokoh seperti Imam Syafii  disamping menjadi seorang manusia pencinta keamanan.

Umat Islam  terdahulu kata beliau telah merubah dunia melalui cinta dan kasih sayang  bukan hanya sekadar mengikut emosi.

Beliau juga menyarankan kepada semua untuk mengkaji pemikiran Syeikh Murabit Alhaj di Mauritania tempat beliau pernah berguru  yang banyak mendidik beliau untuk bersikap rasional ,tidak sekadar mengikut emosi,bercakap dengan penuh adab-hormat dan melakukan dakwah dengan penuh hikmah-kebijaksanaan.
 
Mohamad Omar juga menekankan persoalan memperkasakan rakyat khususnya memperkasakan anak muda untuk sentiasa melakukan lebih banyak lagi aktiviti yang berfaedah kepada manusia keseluruhannya.

Beliau juga mengharapkan agar kita lebih banyak mengadakan  gerak kerja  dialog antara agama dan proses ‘engagement’ antara pelbagai kelompok sekaligus melawan pemikiran sempit.

Manusia kata beliau perlu sentiasa berlaku adil kepada semua pihak dan melawan segala bentuk ketidakadilan dan beliau membawa contoh bagaimana kita perlu memperjuangkan nasib kaum pekerja,kelompok kulit hitam,etnik minoriti dan lain-lain.

Konsep persaudaraan sejagat perlu diperjuangkan dan kita perlu melawan nasionalisme sempit-sikap perkauman yang memisahkan kita semua sebagai  satu keluarga.

Beliau menasihatkan anak muda agar jangan hanya sekadar mengikut satu ilmuwan dan satu pandangan semata-mata dan belajar daripada sejarah islam dan tokoh sarjana,imam dan para ilmuwan yang hebat- hebat.

Beliau mahu anak muda melawan kelompok radikal,menerima semua orang yang mahu melakukan perubahan,memperjuangkan kesatuan umat islam,memiliki satu visi yang dikongsi bersama dan terus menggerakkan projek pendidikan dan pencerahan.

Ucaptama Tun Dr Mahathir di Putrajaya International Islamic Forum



Putrajaya International Islamic Forum

Saya hadir ke acara Putrajaya International Islamic Forum yang menampilkan ‘arkitek Putrajaya’  Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai penyampai ucaptamanya.

Dalam ucapan beliau menyentuh persoalan jurang kaya dan miskin di dunia Islam dan peranan mereka dalam mempertahankan ummah keseluruhannya.

Bagi  Tun Dr Mahathir,kelompok ekstrimis telah ‘merampas’ dan meng‘hijack’  ajaran al-quran,menyalahtafsir konsep ‘syahid’,’jihad’ ,’ syurga’ sehingga sanggup membunuh sesama Muslimm dan menganggap ia sebagai satu jihad dan jalan ke syurga.Kefahaman Islam secara sempit akibat kekurangan ilmu dan salahtafsir  ini merupakan sesuatu yang ‘tidak Islamik’  dan tidak berasaskan Al-Quran menurut beliau.

Beliau juga mengkritik konsep kebebasan-liberalisme-demokrasi Barat .

Ketika menjawab persoalan para peserta,Tun Dr Mahathir menyatakan dengan nada sinis bahawa jika beliau kembali menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri,beliau akan memberi fokus kepada pendidikan dan sistem nilai.

Bagi beliau ibubapa kini Ibubapa telah di ‘occupy’ dan terlampau fokus kepada persoalan kerja sehingga kurang  kualiti masa dengan anak-anak dan waktu untuk mengajar sendiri anak-anak dan hanya menyerahkan tanggungjawab mendidik kepada pihak sekolah semata-mata.

Dan beliau menegur pemikiran segelintir yang mengaku muslim tetapi sekadar mengamalkan ibadat ritual seperti solat-puasa-haji-zakat dan sesuatu yang berfaedah untuk diri sendiri semata-mata serta mengejar pahala dan akhirat tetapi pada masa yang sama mengabaikan nilai-nilai penting ajaran Islam,cara hidup dan mesej sebenar Al-Quran.

Bagi Tun Dr Mahathir,pihak sekolah wajar menekankan aspek  nilai- moral dan nilai tersebut mesti berasaskan Al-Quran disamping  memiliki sebanyak mungkin ilmu.

Sebagai umat Islam kata beliau kita mesti tahu dari mana kita datang dan ke mana kita hendak pergi dan beliau menyarankan agar umat Islam belajar dari sejarah dan pengalaman di Cordoba dan Baghdad serta berusaha untuk mencipta suatu ‘renaissance’ kita sendiri pada masa kini.

Seepas kewafatan nabi berlaku banyak tafsiran-tafsiran terhadap pemahaman Islam yang berbeza walaupun kata beliau hanya wujud ‘satu Islam’ iaitu yang berasaskan Al-Quran walaupun tafsiran-tafsirannya yang pelbagai versi.

Tun Dr Mahathir mengatakan bahawa Imam Bukhari dan Imam Muslim bukanlah seorang nabi jadi pandangan mereka pasti mempunyai kemungkinan untuk salah  walaupun kita tetap menghormati pandangan mereka.

Beliau menyelar sikap sesetengah umat Islam yang seolah-olah memaksa pandangan terhadap sesuatu dan bersikap seakan-akan mengatakan ‘terima tafsiran kami atau anda bukan lagi seorang Islam’ serta tidak bersedia mendengar pandangan orang lain.

Berbicara soal negara maju pula bagi Tun Dr Mahathir Mohamad ,negara tidak boleh bergantung kepada ‘income perkapita’ semata-mata dan bukan diukur dengan  duit yang diraih sahaja tetapi mesti memberi fokus juga kepada hal-hal keilmuan dan tidak melupakan juga aspek pertanian.

Beliau mengharapkan agar umat Islam memiliki para ilmuwan yang hebat dalam pelbagai bidang(doktor-ahli fizik-jeneral tentera sebagai contoh yang dibawa beliau) dan terus memberi keutamaan kepada ilmu .

Wednesday, February 25, 2015

Pilihanraya kampus UM



Pilihanraya Kampus Universiti Malaya memang sering diberi perhatian oleh pelbagai pihak sejak dahulu lagi.Entah mengapa itu kita kurang pasti dan memerlukan kajian yang lebih terperinci.Barangkali kerana ia mempunyai nilai sejarah gerakan mahasiswa yang tersendiri dan sentiasa sejarah baru tercipta di Universiti Malaya oleh gerakan mahasiswanya.

Pilihanraya kampus di UM ini merupakan salah satu dari pelbagai medan untuk melatih pemimpin muda dan pemimpin pelapis kepimpinan negara.Oleh kerana itu ia tidak boleh dilihat misalnya sebagai perlawanan antara Penggerak Mahasiswa VS Pro Mahasiswa semata-mata.Apatah lagi mengaitkan ia sepenuhnya dengan perlawanan antara mahasiswa Pro Barisan Nasional VS mahasiswa Pro Pakatan Rakyat.

 Pilihanraya kampus di UM ini wajar menjadi  satu proses pendidikan gerakan mahasiswa dan medan mahasiswa membawa suara mahasiswa.

Oleh kerana itu sebarang  campur tangan dari pihak HEP,pentadbiran kolej atau sesiapa sahaja terhadap perjalanan pilihanraya kampus ini perlu ditolak dan mahasiswa perlu diberi kebebasan untuk memilih calon pemimpin terbaik pilihan mereka sendiri melalui proses pilihanraya yang adil dan memberi layanan yang saksama kepada semua calon yang bertanding.

Mahasiswa perlu memanfaatkan sebaik mungkin masa mereka dalam tempoh  pendidikan di universiti untuk belajar sebanyak mungkin ilmu dan kemahiran dan sebenarnya juga pilihanraya kampus ini boleh mengajar pelbagai ilmu dan kemahiran yang barangkali tidak dapat  diraih oleh mahasiswa dalam dewan kuliah.Pendidikan politik pilihanraya kampus perlu diperkasakan agar ia tidak menjadi ruang politik sempit semata-mata.

Kempen,manifesto,sesi penerangan dalam pilihanraya kampus wajar mengupas secara mendalam soal yang lebih besar misalnya fungsi sebenar,objektif-tujuan penubuhan,falsafah  dan makna sebenar sesebuah universiti serta peranan sebenar kelompok mahasiswa.

Gerakan mahasiswa juga perlu lebih aktif membahaskan soal budaya  ilmu mahasiswa dan sentiasa komited menggalakkan mahasiswa untuk sentiasa aktif dalam kegiatan seperti kegiatan berfikir,menulis,membaca,berdiskusi,menyelidik,bedah buku,membahaskan pemikiran serta menghasilkan idea- idea yang segar dan dapat dimanfaatkan untuk pembangunan negara.

Budaya takut untuk bersuara,menyatakan pandangan peribadi,mengemukakan idea dan suara mahasiswa perlu dikikis dalam jiwa mahasiswa dan mahasiswa perlu sentiasa berani dalam memperjuangkan kebenaran.

Gerakan mahasiswa perlu melawan usaha melarikan fungsi sebenar universiti,campur tangan syarikat –syarikat besar,terlampau mengikut rentak pasaran ,terlampau mengejar ranking dan piawai antarabangsa seolah-olah kita tidak memiliki acuan yang tersendiri dalam menghidupkan universiti di Malaysia mengikut konteks kemalaysiaan .

Gerakan mahasiswa juga perlu menghidupkan universiti sebagai pusat pertarungan atau percambahan idea dimana pemikiran dan idea-idea besar dibahaskan oleh mahasiswa itu sendiri serta menggerakkan usaha memantapkan mahasiswa di kampus universiti dengan gerakan idea-gerakan intelektual sesuai dengan taraf sebagai mahasiswa universiti.

Dasar-dasar kerajaan misalnya perlu dibahaskan oleh mahasiswa  dan pelbagai persoalan tentang kenegaraan dan hal ehwal dunia perlu dibincangkan oleh mahasiswa.

Melalui pilihanraya kampus juga kita mengharapkan kesedaran  terhadap isu rakyat dan kemasyarakatan terus digerakkan oleh mahasiswa yang perlu sentiasa memahami permasalahan sebenar masyarakat.Universiti,mahasiswa dan masyarakat jangan sesekali dipisahkan dan mahasiswa di universiti jangan sesekali berkhayal dan hidup dalam suasana kampus yang terpisah daripada permasalahan masyarakat setempat.

Mahasiswa perlu bersuara dalam pelbagai isu kemasyarakatan seperti isu kemiskinan,jenayah,peningkatan kos sara hidup,kenaikan harga barang,masalah perumahan dan sekaligus cuba menawarkan jalan penyelesaian setakat mana yang mampu dibuat oleh mahasiswa.

Isu yang dekat di hati mahasiswa seperti kebajikan mahasiswa,persoalan pinjaman-biasiswa pendidikan mahasiswa,pengangkutan,penginapan,keselamatan dan kualiti  makanan dalam kampus juga wajar diberi perhatian dalam keghairahan berkempen sewaktu pilihanraya kampus.

Kadangkala kita mendengar rungutan dari mahasiswa tentang bagaimana masih ada mahasiswa yang terpaksa ‘ikat perut’, latar belakang keluarga yang miskin-kesempitan hidup,anak yatim,pelajar istimewa oku yang terabai kebajikan mereka.

Selain itu juga terdapat rungutan mahasiswa berkenaan perkhidmatan pengangkutan bas  dalam kampus yang sering lewat  dan tidak menepati masa,masalah penginapan-sewa rumah yang semakin meningkat,kemudahan tempat letak kereta/motor di kolej kediaman mahasiswa,kes kecurian-pecah rumah dan tahap kualiti makanan di kafe  kampus yang kurang memuaskan.

Kita juga mengharapkan persoalan perpaduan antara mahasiwa pelbagai kaum dan agama,hubungan antara mahasiswa dan pensyarah juga diperjuangkan disamping usaha menjadikan mahasiswa berdikari melalui program keusahawanan mahasiswa bahkan mewujudkan koperasi mahasiswa itu sendiri.

Usaha menjadikan kampus universiti sebagai  kampus hijau yang mesra alam,persekitaran yang selamat,dan melahirkan budaya hidup sihat dalam kalangan mahasiswa juga wajar diberi penekanan oleh mereka yang bertanding dalam pilihanraya kampus ini.

Kehadiran pelajar antarabangsa dari pelbagai negara sangat dialu-alukan namun usaha untuk memastikan pelajar antarabangsa ini untuk menguasai Bahasa Melayu masih kurang diberi penekanan dan ia sangat berbeza jika rakyat Malaysia yang menuntut ilmu di luar negara yang tidak dapat tidak mesti menguasai bahasa negara tersebut.

Oleh kerana itu wajar digerakkan usaha untuk menggalakkan pelajar-pelajar antarabangsa ini mempelajari Bahasa Melayu, adat-budaya Malaysia(misalnya dengan mengaktifkan penglibatan mereka dalam program budaya Malaysia) disamping menggalakkan semua mahasiswa untuk berkerjasama membina  hubungan jaringan persaudaraan mahasiswa pelbagai negara sejak di kampus universiti lagi.

Mahasiswa juga perlu sentiasa peka terhadap Isu semasa antarabangsa dan apa yang sedang berlaku diseluruh dunia kini.Kehidupan mahasiswa di kampus universiti jangan sampai menyebabkan mahasiswa mengabaikan keprihatinan terhadap krisis kemanusiaan yang berlaku di negara seperti Palestin,Iraq,Afghanistan,Syria,Mesir,permasalahan Rohingya,Selatan Thailand,Afrika dan lain-lain dan kelompok mahasiswa wajar digerakkan untuk menjadi barisan utama anti peperangan dan pro kemanusiaan.

Persoalan meningkatkan kualiti mahasiswa melalui penguasaan pelbagai ilmu( bukan semata-mata dalam bidang pengkhususan) dan kemahiran(misalnya kemahiran pidato-pengucapan awam-pembentangan,komunikasi-PR,penguasaan pelbagai bahasa,kemahiran berfikir dan lain-lain juga wajar ditekankan sewaktu pilihanraya kampus nanti.

Pastinya kualiti akhlaq-adab-karakter peribadi mahasiswa itu sendiri perlu dibicarakan dan difikirkan usaha pembentukan semua kualiti mahasiswa tersebut.

Pilihanraya kampus ini diharapkan dapat menyerlahkan kualiti sebenar mahasiswa kita seterusnya melatih mereka dalam soal kepimpinan dan pengurusan .Yang jauh lebih penting juga pastinya sewaktu mengisi kemenangan pasca pilihanraya kampus itu nanti .

Kepada mahasiswa yang bertanding mahupun yang bakal mengundi pada pilihanraya kampus ini nanti , kita mahu bertanyakan kepada mereka,anda mahu mengisi kemenangan pasca pilihanraya kampus itu nanti dengan apa?

Debat antara Dato Saifuddin Abdullah vs Dato Nur Jazlan






Hari ini saya hadir ke acara debat antara Dato Saifuddin Abdullah vs Dato Nur Jazlan yang diadakan di Auditorium Kompleks Perdana Siswa,Universiti Malaya.Saya suka hadir acara debat sebegini untuk mendengar hujah dan idea para pendebat sekaligus membuat analisis dan perbandingan hujah antara para pendebat.

Acara debat ini wajar diaktifkan dikalangan mahasiswa universiti kita.Pastinya ia bukan untuk menentukan siapa yang menang dan siapa yang kalah dalam berdebat  atau siapa yang lebih petah berkata-kata tetapi debat ini juga boleh dijadikan sarana untuk menyampaikan kebijaksanaan dan bagi saya juga,saya cenderung untuk melihat acara debat ini dari aspek IDEA dan PEMIKIRAN.

Dato Saifuddin Abdullah mengupas  pandangan Prof Syed Naquib Al-Attas dan menjelaskan bahawa universiti ini bukan bangunan-prasarana sahaja,tetapi ia juga wajar dilihat daripada interaksi antara pensyarah-pensyarah,mahasiswa-mahasiswa, dan pensyarah-mahasiswa.Ia juga satu tempat untuk melahirkan Insan kamil -manusia yang baik dan oleh kerana itu para warganya perlulah mengamalkan budaya ilmu dan meletakkan ilmuwan di tempat tertinggi serta membuat sesuatu keputusan berdasarkan ilmu.

Dato Saifuddin juga menekankan soal autonomi universiti dan mempersoalkan samada universiti sekarang ini hanya sebagai makmal kerajaan dan adakah IPT swasta sekarang ini lebih mementingkan keuntungan-komersial.

Soal kebebasan akademik menurut beliau perlulah dihayati-diamalkan oleh pentadbir-pensyarah-mahasiswa dan beliau membangkitkan persoalan tentang keperluan ranking dan merasakan bahawa fokus kekuatan  perlulah diberi kepada semua fakulti-pensyarah yang membentuk pasukan penyelidik.

Beliau menjelaskan persoalan antara terlalu mementingkan ranking  dan  siapa profesor-buku-buku besar yang telah dihasilkan,penyelidikan yang berkualiti dan kepentingan menjaga para profesor ternama -para cendekiawan di universiti dan tidak membiarkan mereka ‘dicuri’ .Perlantikan para pensyarah-ahli akademik juga perlu dilihat dari ukuran akademik  atau ‘academic leader’-‘leading scholar’ dalam bidangnya.

Dato Saifuddin juga menyarankan agar dikurangkan kos-yuran universiti dan ia boleh dibuat dengan perbelanjaan yang berhemah serta memerangi sebarang bentuk  rasuah.Beliau mencadangkan juga autonomi universiti untuk mengambil pelajarnya sendiri.

Soal kesederhanaan-jalan pertengahan juga dibangkitkan beliau dan menyentuh pelbagai sikap seperti tidak tamak haloba dan tidak mewujudkan jurang antara orang kaya dan orang miskin dan beliau menekankan soal bagaimana mendidik seseorang dan  amalan hidup-contoh tauladan.

Beliau juga mengupas soal memerangi keganasan-ekstrimis dan menolak ‘politics of assassination’ dan politik yang mengamalkan mengutuk orang lain dan membuka aib orang lain dan menyatakan ‘masuk politik kerana perjuangan berbaloi’.

Beliau menyarankan agar mahasiswa menjadi seorang aktivis ,melibatkan diri dalam program kesukarelawanan ,menyertai gerakan mahasiswa dan sempat menyatakan:’Persatuan mee goreng tak sama dengan gerakan mahasiswa kan?’

Mahasiswa menurut beliau perlu berpegang kepada rukun  ‘Idealisme-aktivisme-intelektualisme’,berpegang dan mempertahankan  idealism selain menggunakan segala peluang dan memanfaatkan sebaik mungkin untuk melakukan sebanyak mungkin perubahan.

Beliau juga meyarankan universiti seimbang sebagai gedung ilmu dan penyelidikan dan menghasilkan ‘good man’ bukan sekadar ‘good  worker’

Dato Saifuddin menjelaskan keperluan membina hubungan akrab antara pentadbir-persatuan mahasiswa –alumni dan  hubungan akrab antara kerajaan-universiti tetapi mengelak sebarang bentuk campur tangan dan  ‘suruhan dari atas’.

Yang paling utama menurut beliau ialah mahasiswa dan  oleh kerana itu kita perlu mempertingkatkan kualiti mahasiswa dan bagi mahasiswa itu sendiri perlulah membangun diri dan memperkasa gerakan mahasiswa.
Beliau menasihatkan agar mahasiswa rajin menulis dan membuat dokumentasi agar ia boleh menjadi rujukan kepada orang lain akan datang

Dato Nur Jazlan pula membangkitkan persoalan adakah objektif universiti selari dengan dasar kerajaan,dan keperluan universiti untuk berubah,tidak terlalu teori bahkan mengikut hasrat kerajaan.

Bagi beliau ranking/KPI universiti sangat penting agar boleh dipasarkan dan kerajaan telah memberi banyak peruntukan kepada universiti namun menurut beliau apakah hasil penyelidikan universiti-pensyarah kita?Apakah pensyarah kita diiktiraf oleh rakan universiti luar negara?

Beliau menjelaskan keperluan menaikkan  taraf pensyarah-mahasiswa agar mendapat pengiktirafan dunia dan mempersoalkan bagaimana dengan  kewibawaan pensyarah kita?Dan adakah mereka diiktiraf global?

Menurut beliau juga mahasiswa boleh belajar politik dalam universiti  (beliau mengambil contoh kelahiran ahli politik negara lulusan Universiti Malaya seperti Dato Seri Anwar Ibrahim-Dato Saifuddin-Dato Ibrahim Ali-Dato Shabery Chik) namun begitu mahasiswa perlu mengkritik dengan menggunakan forum yang sesuai seperti aktif menulis dan mengamalakan politik yang matang.


Mahasiswa menurut beliau juga perlu  merubah fikiran rakyat seperti ‘mesti masuk universiti kalau tidak mahu gagal’ dan fikiran yang semata-mata dibasuh untuk ‘pergi universiti’sehingga kita mengabaikan hal vokasional-profesional

Beliau juga mengambil contoh kualiti ACCA dan bagaimana dahulu para  pensyarah mengajar secara praktikal;‘real world experience’ dan menurunkan ilmu kepada anak murid dan beliau mahu para pensyarah kini meningkatkan  kualiti pengajaran.

Mahasiswa juga kata beliau perlu bertanggungjawab untuk generasi akan datang dan apa jua tindakan yang ingin dibuat perlulah memikirkan masa hadapan.

Beliau juga mahu diwujudkan ekonomi yang berasaskan ilmu dan diperingkat parlimen pula perlu memprofesionalkan parlimen dan ahli parlimen serta mewujudkan jawatankuasa khas pemikir dalam pelbagai bidang dan beliau mahu para mahasiswa untuk menyambut segala usaha  kerajaan.

Debat sebegini wajar diaktifkan lagi di kampus universiti kita agar mahasiswa kita mampu mendengar pelbagai idea-hujah dan pemikiran seterusnya membentuk pemikiran mereka agar lebih matang dan sedar tentang peranan sebenar mahasiswa di universiti.Mahasiswa wajar menjemput pelbagai tokoh-pakar dalam pelbagai bidang bagi mendengar sendiri pandangan mereka sekaligus menghidupkan kampus universiti dengan pelbagai program ilmu dan program yang membentuk pemikiran dan keintelektualan mahasiswa.