Thursday, February 26, 2015

Syarahan sahabatku Mohamad Omar,Ramadhan Foundation




Selepas ucaptama Tun Dr Mahathir Mohamad sempena Putrajaya International Islamic Forum,saya mendengar pidato sahabat saya,saudara Mohamad Omar,Pengerusi Ramadhan Foundation yang berpusat di UK dan UAE.Beliau yang saya kenali sejak beberapa tahun dahulu sewaktu  bersama-sama menghadiri sebuah acara di Kuala Lumpur telah menghantar mesej kepada saya melalui Facebook mengajak saya hadir ke acara beliau.Kami bertemu kembali selepas Tun Dr Mahathir tamat menyampaikan ucaptama. 

Dalam pidato beliau menekankan kepenting memperjuangkan keamanan dan bersikap toleran sesama manusia.Bagi beliau kita perlu melawan kelompok eskstrimis seperti ISIS,Boko Haram,Al Qaeda,Taliban dan juga Osama Ben Laden.

Dalam Al-Quran kata beliau ia menggunakan istilah ‘wahai manusia’ dan ini bermakna mesej kita perlu memperjuangkan kemanusiaan keseluruhannya dan tidak terhad kepada umat Islam semata-mata.
Soal kepelbagaian-perbezaan wajar ditangani dengan sebaik mungkin dan kewujudan pelbagai kaum-agama adalah lumrah hidup dan ia menurut Al-Quran adalah untuk kita saling kenal-mengenal antara satu sama lain.

Beliau menyatakan bahawa kita mesti menolak kelompok yang berperang atas nama tuhan dan melakukan apa jua bentuk keganasan di seluruh dunia.

Umat Islam juga perlu beramal dengan amalan sebenar Al-Quran dan mencontohi tauladan Nabi dengan segala karakter ,amalan dan akhlaq yang mulia.

Islam masuk ke sini alam Melayu Nusantara ini kata Mohamad Omar adalah juga melalui para pedagang dari Hadramaut   dan kerana akhlaq mulia dan amalan baik yang dipamerkan oleh mereka.

Beliau juga membawa sebuah kisah bagaimana seorang bukan Islam yang beranggapan wujud 2 versi Al-Quran setelah melihat isi kandungan sebenar Al-Quran yang berbeza dengan amalan  kebanyakan umat Islam pada masa kini.Tindakan sesetengah umat Islam pada masa kini yang tidak mengikut ajaran sebenar Al-Quran sehingga orang bukan Islam mendapati bahawa umat Islam dan Al-Quran itu idak sama.

Beliau juga menasihatkan umat Islam di Malaysia agar tidak terbawa-bawa dengan krisis Sunni vs Syiah perang sektarian ini yang menambahkan lagi luka umat Islam dan masing-masing mengutuk orang lain dan mendakwa kelompok lain akan masuk neraka.

Beliau mengharapkan umat Islam saling menghormati perbezaaan pandangan dan mengikut adab ikhtilaf dan rajin menuntut ilmu termasuk kitab-kitab klasik para ulama agar mampu melawan pemahaman  ekstrimis,pemikiran sempit dan kejahilan.

Sejarah perlu kembali dirujuk dan dipelajari dan umat Islam dinasihatkan agar sentiasa berlaku adil kepada semua orang dan belajar bagaimana mewujudkan kehidupan yang  aman damai.
Hal ini mampu dilakukan sekiranya kita kembali kepada karakter umat Muhammad dan menunjukkan contoh etika-moral yang terbaik.

Mohamad Omar juga menasihatkan agar kita tidak terpengaruh dengan fahaman ‘khawarij’ dan mereka yang jahil serta tidak dipergunakan dan diperbodohkan mereka sehingga sanggup membunuh manusia  yang tidak berdosa termasuk perempuan dan kanak-kanak.

Beliau mengupas pandangan Saidina Ali tentang persaudaraan dalam  agama dan persaudaraan  kemanusiaan  dan menyatakan zaman sekarang ini juga merupakan satu zaman fitnah yang hebat berleluasa.

Jihad dan tanggungjawab  umat Islam di Malaysia sekarang ini kata beliau ialah berkhidmat kepada Malaysia dan sentiasa memiliki karakter-sikap dan  amalan baik,sentiasa merubah sikap ke arah kebaikan dan sentiasa mencontohi kekayaan tradisi sejarah warisan islam termasuk tokoh-tokoh seperti Imam Syafii  disamping menjadi seorang manusia pencinta keamanan.

Umat Islam  terdahulu kata beliau telah merubah dunia melalui cinta dan kasih sayang  bukan hanya sekadar mengikut emosi.

Beliau juga menyarankan kepada semua untuk mengkaji pemikiran Syeikh Murabit Alhaj di Mauritania tempat beliau pernah berguru  yang banyak mendidik beliau untuk bersikap rasional ,tidak sekadar mengikut emosi,bercakap dengan penuh adab-hormat dan melakukan dakwah dengan penuh hikmah-kebijaksanaan.
 
Mohamad Omar juga menekankan persoalan memperkasakan rakyat khususnya memperkasakan anak muda untuk sentiasa melakukan lebih banyak lagi aktiviti yang berfaedah kepada manusia keseluruhannya.

Beliau juga mengharapkan agar kita lebih banyak mengadakan  gerak kerja  dialog antara agama dan proses ‘engagement’ antara pelbagai kelompok sekaligus melawan pemikiran sempit.

Manusia kata beliau perlu sentiasa berlaku adil kepada semua pihak dan melawan segala bentuk ketidakadilan dan beliau membawa contoh bagaimana kita perlu memperjuangkan nasib kaum pekerja,kelompok kulit hitam,etnik minoriti dan lain-lain.

Konsep persaudaraan sejagat perlu diperjuangkan dan kita perlu melawan nasionalisme sempit-sikap perkauman yang memisahkan kita semua sebagai  satu keluarga.

Beliau menasihatkan anak muda agar jangan hanya sekadar mengikut satu ilmuwan dan satu pandangan semata-mata dan belajar daripada sejarah islam dan tokoh sarjana,imam dan para ilmuwan yang hebat- hebat.

Beliau mahu anak muda melawan kelompok radikal,menerima semua orang yang mahu melakukan perubahan,memperjuangkan kesatuan umat islam,memiliki satu visi yang dikongsi bersama dan terus menggerakkan projek pendidikan dan pencerahan.

No comments:

Post a Comment