Sunday, February 8, 2015

Bertemu Pak Tamsil Lingrung



Pak Tamsil seorang jutawan hartanah yang memiliki rasa cinta kepada pendidikan dan pembangunan manusia serta pernah membantu ICMI-Ikatan Cendekiawan Muslim Indonesia.Beliau juga aktif dalam politik dan telah menulis buku ‘Politik untuk Kemanusiaan’.Kami mendapat hadiah buku ini juga daripada beliau sendiri.

Dalam pertemuan kami bersama beliau,saya menjelaskan tentang jaringan anak muda dan kembara yang kami lakukan sebelum berbincang berkenaan isu  sekolah Insan Cendekia Madani dan sistem pendidikan yang terbaik.

Menurut Pak Tamsil ,sekolah Insan Cendekia Madani ini merupakan sekolah antarabangsa dan beliau terdetik menggerakkan penubuhannya selepas berasa sedih melihat nasib sekolah umat Islam yang belum mampu mengatasi pencapaian sekolah antarabangsa yang dikendalikan pihak Kristian misalnya.Hatinya tersentuh dan mahu melihat sekolah yang dikendalikan oleh pihak Islam juga mampu mencapai standart antarabangsa.

Beliau mahukan sekolah Insan Cendekia Madani ini menjadi model integrasi ilmu-keislaman yang mampu dipraktikkan dalam kehidupan dan muridnya ‘bisa menjadi manusia’ yang ‘terdepan dalam kebaikan dalam segala aspek’ menurut beliau.

Ketika saya bertanya kepada beliau tentang  murid yang bagaimana mahu dilahirkan menerusi sekolah ini ,kata beliau lebih kurang begini ‘Gabungan antara BJ Habibie dan Prof Quraish Shihab ‘.

BJ Habibie yang pernah saya hadir ke acaranya dahulu merupakan mantan Presiden Indonesia,seorang teknokrat-pakar dalam hal penerbangan-kapal terbang lulusan German dan mendapat pengiktirafan tertinggi daripada kerajaan German manakala Prof Quraish Shihab merupakan pakar tafsir Al-Quran yang pernah menulis buku ‘Membumikan Al-Quran’ yang menjadi rujukan saya juga sewaktu di Universiti Malaya dahulu.

Beliau juga mahukan para pelajarnya bukan sekadar ideal tetapi praktis,inklusif dan mampu melakukan perubahan dalam masyarakat serta memberi contoh-ketauladanan yang baik kepada masyarakat keseluruhannya.

Sekolah ini turut memberikan biasiswa,wang saku-wang poket  kepada pelajar-pelajar yang miskin.
Pak Tamsil sangat menekankan aspek keteladanan guru dan pelajar-pelajar dan memberitahu kami bahawa para pelajar disini telah diminta untuk menulis deklarasi pelajar sendiri tentang cita-cita mereka pada masa hadapan dan ia akan dijadikan panduan buat para guru sewaktu dalam proses mendidik mereka.

Guru sebagai daie menurut beliau perlu sentiasa menunjukkan contoh keteladanan yang baik dan di sekolah ini beliau sangat menekankan aspek ganjaran-mendidik berbanding hukuman semata-mata.



Para pelajar disini sangat dilarang merokok dan sekolah ini juga sangat menekankan aspek penjagaan alam sekitar-kehijauan dan pernah mendapat anugerah sekolah berwawasan lingkungan dan anugerah senibina terbaik daripada persatuan arkitek.

Pencapaian pelajar di sekolah ini cukup baik dengan penyertaan ke dalam pelbagai program bertaraf antarabangsa dan menurut Pak Tamsil,para alumni sekolah wajar memainkan peranan yang cukup penting untuk pencapaian sekolah yang lebih baik.

Pak Tamsil juga menyatakan betapa pentingnya kita untuk berkorban demi mendapat yang terbaik khususnya dalam persoalan kualiti pendidikan dan berharap kami dapat menyampaikan maklumat sekolah ini kepada pelbagai pihak di Malaysia nanti.

No comments:

Post a Comment