Tuesday, February 24, 2015

Bengkel kepimpinan bersama Pak Syed Barkat Ali bin Syed Ali (CEO Transformational Leadership Development(M) Sdn Bhd



Bengkel kepimpinan bersama Pak Syed Barkat Ali bin Syed Ali (CEO Transformational Leadership Development(M) Sdn Bhd

Saudara Nuruddin Abd Manap sahabat saya telah mengatur satu pertemuan kami Jaringan Anak Muda bersama Pak Syed Barkat Ali  dan kami turut mengikuti acara bengkel kepimpinan dibawah bimbingan beliau .

Pak Syed Barkat Ali ini merupakan CEO Transformational Leadership Development(M) Sdn Bhd dan berpengalaman luas dalam hal kepimpinan.Kali pertama saya mengenali beliau sewaktu bersama-sama menghadiri satu acara anjuran IAIS berdekatan UM.Beliau menyatakan hasrat kepada saya untuk berkongsi pengalaman beliau dalam hal kepimpinan kepada anak-anak muda dan beliau menyatakan kesudian untuk membimbing kami ,Jaringan Anak Muda.

Di pejabat RICOI di Taman Tun Dr Ismail,Pak Syed Barkat menyampaikan pembentangan beliau berkenaan kepimpinan.

Beliau menyampaikan pembentangan sambil berkomunikasi dua hala bersama kami para peserta serta sentiasa meminta kami juga memberi pandangan sendiri terhadap apa jua isu yang ditimbulkan.

Dalam pembentangan beliau menyatakan kepentingan bersikap inklusif,sentiasa melibatkan orang lain dalam projek yang kita jalankan dan sentiasa menjalankan gerak kerja secara  berpasukan.        

Karakter –karakter kepimpinan menurut beliau juga wajar dikaji dan anak muda perlu rajin membuat kajian terlebih dahulu terhadap apa jua fokus projek yang ingin dijalankan.

NGO-masyarakat madani perlu diperkuatkan dan hubungan antara masyarakat dan sekolah perlu lebih erat terutamanya dalam menghadapi gejala sosial dalam kalangan anak muda pada masa kini.


Persoalan pemikiran-emosi-kepimpinan dan nilai yang wujud pada seseorang pemimpin juga perlu dibahaskan .

Pak Syed Barkat juga menyentuh berkenaan isu pendidikan,pemikiran dan kemahiran dan beliau menghuraikan berkenaan pendidikan liberal dan pendidikan yang berasaskan kemahiran.Bagi beliau persoalan pemikiran dan kemahiran cukup penting ditekankan dalam sistem pendidikan negara.

Mengupas soal kepimpinan juga beliau menghuraikan berkenaan ‘transformational leadership’,’emotional intelligence’ dan karakter-personaliti yang wujud dalam diri seseorang pemimpin.

Universiti melalui persatuan-persatuan mahasiswa menurut beliau wajar menekankan aspek ini dan mengikuti modul-modul kepimpinan yang pelbagai .

Beliau berharap mahasiswa memberi fokus kepada ‘action oriented’ dan sentiasa ‘memperkenalkan perubahan’  di kampus universiti melalui pelbagai kegiatan yang dijalankan .


Pak Syed Barkat juga menjelaskan antara sikap yang perlu ada pada seseorang pemimpin seperti berikut:

-Love
-Compassion
-Respect
-Responsibility

Beliau juga menasihatkan agar mereka yang mahu menjadi pemimpin sentiasa memimpin  diri sendiri  dan memulakan perubahan dalam diri sendiri terlebih dahulu.

Dalam pembentangan beliau juga Pak Syed mengharapkan para peserta untuk menyedari akan kadar celik huruf , kadar penggangguran dan pendapatan perkapita di Malaysia ini dan sentiasa celik dengan isu-isu semasa yang berlaku dalam dan di luar negara.

Beliau meminta para peserta untuk sentiasa melibatkan diri dalam pelbagai projek pendidikan-kebajikan-kemasyarakatan dan merekrut lebih ramai anak muda agar melibatkan diri dalam projek-projek tersebut semenjak muda lagi.

Bersikap jujur,membetulkan sesuatu perkara,menjadi penyelamat kemanusiaan ,inilah yang diungkapkan oleh Pak Syed ketika membawa contoh Rasulullah sebagai seorang pemimpin sehingga mendapat pengiktiran daripada pelbagai tokoh seperti Gandhi dan Napoleon Bonaparte.Beliau menyarankan kepada para peserta untuk mengkaji juga tentang sejarah kepimpinan Rasulullah

Pak Syed Barkat juga membentangkan berkenaan projek yang dijalankan beliau dan rakan-rakan iaitu projek ‘Samara’ ;padanan kata kepada Sakinah-Mawaddah-Rahmah.Projek ini dijalankan di sekolah-sekolah dan melibatkan juga pelajar-pelajar yang bermasalah dan menurut beliau ia mendapat sokongan para guru dan ibubapa serta mendapat respon yang positif apatahlagi selepas para guru dan ibubapa melihat sendiri perkembangan perubahan positif dalam diri para pelajar yang menyertai projek ini.

Beliau mengharapkan apa jua projek yang dijalankan oleh anak muda memberi kesan yang positif kepada dunia namun mengingatkan ia mestilah diasaskan dan dicetuskan dengan ilmu.

Beliau juga menghuraikan berkenaan ‘A taqwa driven leadership style’ yang menekankan aspek taqwa-tauhid , konsep ihsan serta ilmu-iman- amal .

Menurut beliau juga seseorang pemimpin perlu sentiasa berfikir,merasa,bercaka dan paling penting juga untuk bertindak/beraksi/menjalankan gerak kerja.
 
Pemimpin juga bukan sekadar mengutarakan masalah tetapi mesti membantu untuk menyelesaikan masalah.

Pak Syed Barkat juga menekankan aspek kecemerlangan manusia ,memahami tujuan sebenar  dan matlamat hidup atau visi yang jelas terhadap tujuan hidup
 serta sentiasa peduli terhadap nasib orang lain.

Beliau menyatakan seseorang pemimpin perlu sentiasa bertanyakan persoalan;’’Apa yang boleh aku buat?’’ manakala ia mesti dimulai dengan niat yang baik,gerak kerja dan amalan mulia.Untuk gerak kerja ini pula ia memerlukan
‘Itqan’,’khusyuk’ dan level kualiti kerja yang tinggi serta ia memerlukan  hikmah kebijaksanaan.

Dalam pembentangan penutup pula Pak Syed Barkat Ali menasihatkan kami para peserta agar sentiasa bercita-cita menjadi seorang pemimpin  yang berkualiti
dalam apa jua bidang sekalipun dan sentiasa mengingatkan diri sendiri dengan kata-kata berikut:‘Saya mahu jadi seorang pemimpin dan akan memimpin ke arah perubahan’

No comments:

Post a Comment