Ulasan novel 'Politik Hantu' karya Raja Ahmad Niza
oleh
Wan Mohamad Wasif Wan Mohamad
wasifwan.blogspot.com
wasiferdogan@gmail.com
‘Novel
politik futuristik’ karya Raja Ahmad Niza ini saya perolehi ketika bersama-sama
Raja Ahmad Aminullah dan rakan-rakan ‘Jaringan Anak Muda’ menghadiri acara
perasmian buku ini berserta buku-buku terbitan R .A.N.Publisher Sdn.Bhd. yang
lain selepas kami menghadiri acara
Ziarah Karyawan di Janda Baik.
Terima kasih
kepada Raja Ahmad Aminullah yang sudi membelanja kami buku ini sewaktu kami
sama-sama melihat pameran jualan buku-buku tersebut dan kami sempat bertemu
sendiri dengan penulis novel ini,Raja Ahmad Niza.
Raja Ahmad
Niza,penulis novel ini pernah lama bergelumang di arena politik dan dalam novel
ini beliau seakan-akan mahu para pembaca menyelami realiti sebenar kehidupan
politik tanah air dan beliau banyak menyindir dan mengkritik pengamalan politik
kotor.
Dalam novel
ini tercatat kata-kata berikut:-
‘Cakap politik tak selalu ikhlas
Ragam politik tak selalu indah
Janji politik tak selalu betul
Pentas politik tak selalu adil
Rakan politik tak selalu kekal
Orang politik tak selalu jujur
Matlamat politik tak selalu sampai’
Dalam novel
ini watak Badrul seakan-akan tersepit antara pengamalan politik kotor oleh
teman sekelilingnya dan prinsip perjuangan demi agama ,bangsa dan tanah air
yang dipegangnya.Badrul tekad mahu membawa dan mengamalkan politik bersih dan
beradab serta memberi fokus utama kepada perjuangan memartabatkan agama,bangsa
dan tanah air.Beliau masuk dalam politik bukan untuk mengejar
jawatan,kedudukan,pangkat semata-mata tetapi kerana niat ikhlas mahu
memperjuangkan agama,bangsa dan tanah air.
Watak
‘mahaguru politik’,Ahmad Basir pula walaupun membawa pendekatan politik kotor
tetapi pada pandangan saya penulis novel mahu menyindir kelompok yang
mengamalkan pendekatan politik kotor menerusi watak ‘mahaguru politik’ ini.
Dalam novel
ini digambarkan bagaimana Badrul sering teringat ‘amanat’ Ahmad Basir seperti
berikut:-
‘’Badrul teringat amanat mahaguru
politik,Ahmad Basir:Kalau hendak berjaya dalam politik,jangan terlalu
lurus,orang politik mesti gila-gila,mesti tebal telinga,pandai
bermuka-muka,pandai mengampu bos,rajin ikut buntut bos kemana-mana dan jika
perlu cium tangan bos selalu’’
‘’Mahaguru politik Ahmad Basir
beramanat lagi:Bila bos buat arahan,angguklah macam burung belatuk.Bila bos
berjenaka,ketawalah kuat-kuat walaupun tidak lucu.Dan bila bos kata
hitam,hitamlah.Bila bos kata putih,putihlah.Jangan sesekali menentang arus’’
Pegangan Badrul
terhadap prinsip perjuangan dan niat ikhlas berpolitik digambarkan langsung
tidak tergugat dengan pelbagai cubaan hasutan untuk mengamalkan politik kotor
dan songsang oleh ‘mahaguru politik’ dan sahabat disekelilingnya .Badrul tetap
mempertahankan pendirian dan prinsipnya untuk berpolitik secara matang,bersih
dan beradab tanpa menggunakan apa jua cara yang kotor demi meraih kuasa dalam
politik.
Dalam
keadaan tersebut digambarkan dalam novel ini bagaimana suara hati Badrul yang
jelas menolak pengamalan politik kotor tersebut:-
‘’Mahaguru Ahmad Basir dan
Wali,sahabat-sahabatku! Hati Badrul menyeru.Bertaubatlah,jangan cuba menjadi
jin atau syaitan atau hantu atau polong politik.Jangan rosakkan agamamu,jangan
rosakkan bangsamu dan jangan rosakkan negaramu!Jangan!’’
‘’Aduh!Kalau Datuk Onn Jaafar masih
hidup,kalau Tunku Abdul Rahman Putra masih hidup.kalau Tun Razak masih hidup
dan mereka mendengar kata-kata mahaguru Ahmad Basir;sebak sungguh dada
mereka.Apa tidaknya,perjuangan yang sejati sudah pasti berbekalkan permaidani
kesedaran,amanah,tanggungjawab dan semangat yang tinggi membela bangsa,agama
dan negara.Pemimpin sejati tidak perlu menabur wang membeli undi dan
jawatan.Pemimpin sejati tak perlu menggadai prinsip dan maruah
diri.Tidak!Tidak!Tidak!!!’’
Novel ini
juga banyak menjelaskan tentang pelbagai permainan politik dan realiti yang
berlaku dalam dunia politik.Perebutan kuasa , saling cuba menjatuhkan antara
satu sama lain,’menikam belakang’,membunuh karakter peribadi lawan dan
lain-lain digambarkan menerusi pertarungan 2 kem yang mahu bertanding dalam
pemilihan Ketua Bahagian dan usaha mendapatkan habuan jawatan.Politik wang
diamalkan tanpa segan silu dan untuk mempertahankan kuasa juga pengamal politik
wang sanggup menghabiskan jutaan ringgit sebagai pelaburan untuk meraih
kekuasaan.
Hal ini juga
diungkapkan oleh penulis dalam ayat-ayat berikut:-
‘‘Dalam politik tidak ada yang
mustahil,ayam boleh menjadi musang,musang boleh menjadi ayam.segala strategi
selalu berahsia.Kadang-kadang terdapat pijat-pijat diatas tilam yang
empuk.Silap-silap baca dan congak,nanti tak tidur malam dibuatnya.’’
Ia juga
digambarkan dalam watak Datuk Ghafur yang sanggup melakukan apa sahaja untuk
meraih jawatan.Berbeza dengan watak Badrul yang tetap setia mempertahankan
prinsip perjuangan,demi mengejar kekuasaan dan jawatan yang diimpikannya Datuk
Ghafur telah mengamalkan politik wang dan menyogok para perwakilan dengan
pelbagai habuan .
Dalam novel
ini juga dinyatakan seperti berikut:-
‘’Tetapi Datuk Ghafur yakin pada diri
dan selalu diyakinkan oleh Datuk Hashim.Peluang tidak datang
selalu,katanya.Dalam politik lebih baik memancung sebelum dipancung.Dalam
politik tidak ada mustahil.Tasik yang tenang jangan disangka tiada
buaya.Kadang-kadang dalam tenang rebut boleh berlaku.Hati penyokong boleh
berubah,siang lain malam lain,disini lain disana lain.Tidak ada perjanjian
muktamad dalam politik.Sahabat menentang sahabat sudah menjadi perkara
biasa.Oleh itu..oleh itu…sediakan payung sebelum hujan.Sediakan duit sekarung
dua kerana buaya dan naga sentiasa ternganga mahu makan.Betul juga,kalau takut
menabur wang,jangan cuba-cuba masuk politik.’’
Penulis
novel ‘Politik Hantu’ ini juga sempat menyelitkan satu puisi yang menggambarkan seperti yang diungkapkan
beliau: ‘politik dan hantu bersaudara
rapat’.Puisi tersebut berbunyi seperti berikut:-
‘’Sebenarnya
Politik itu hantu
Hantu itu politik
Macam bebayang
Mengikut condongnya matahari
Pagi ke kiri petang ke kanan
Dan di waktu malam
Hantu-hantu berkeliaran
Berkatalah seribu kali baik
Manisnya bahasa
Tetapi yang pasti
Politik dan hantu bersaudara rapat’
Dalam novel
ini juga penulis cuba menggambarkan perbezaan orang politik dahulu dan orang
politik kini serta menekankan politik untuk perjuangan agama,bangsa dan negara
yang menuntut pengamalan politik yang bersih,menekankan soal moral,adab dan
budi,menjaga maruah dan harga diri,kewajipan dan timbang rasa dan persoalan
dosa dan pahala.Beliau juga menyelar sikap orang politik yang sekadar
melaungkan ‘slogan basi dan retorik’ dan ‘kegilaan’ yang wujud dan ‘sudah
menjadi raja’ menurut beliau.Barangkali ‘kegilaan’ yang dimaksudkan beliau
ialah kegilaan untuk mengejar kuasa dan
jawatan seperti yang digambarkan melalui
watak Datuk Ghafur yang sanggup melakukan apa sahaja termasuk menampakkan
keprihatinan beliau terhadap program kebajikan masyarakat walaupun hanya sibuk
dengan program tersebut menjelang pemilihan parti.
Dalam novel
ini ada diungkapkan kata-kata berikut:-
‘’Mana nak sama zaman orang UMNO guna
basikal dengan orang UMNO guna Mercedes
S 320 sekarang.Lain hulu lain parang…zaman berubah watak berubah,sekali
air bah sekali pantai berubah.Orang jahil akan ketawa apabila disuruh berbuat
baik,orang kedekut akan tersenyum apabila disuruh menderma dan orang politik
akan ketawa terbahak-bahak kalau disuruh bersopan santun dalam politik.Dan
orang politik tetap menyalak terlalak terkahak kerana mahu mendenyutkan nadi
politiknya.Buat apa lagi,buat apa lagi?Ah,buat apa lagi bercakap soal bersih
dan moral,soal adab dan budi,soal maruah dan harga diri,soal kewajipan dan
timbang rasa,hatta soal dosa dan pahala.Pergi mampus itu semua.Kalau dulu orang
sebut berjuang kerana agama,bangsa dan negara tercacak bulu roma
mendengarnya,tetapi sekarang sudah menjadi slogan basi dan retorik.Siapa peduli
itu semua kerana ‘kegilaan’ sudah menjadi raja.’’
Badrul walaupun
mendapat tekanan dari rakan-rakan sekeliling dan para penyokongnya agar
bertanding dalam pemilihan Ketua Bahagian tersebut namun menarik diri saat-saat
akhir selepas berfikir masak-masak dan demi mempertahankan prinsip perjuangan
politiknya yang tidak mahu mengamalkan politik kotor demi meraih jawatan.Bukan
jawatan yang dikejar oleh Badrul dan beliau sanggup hilang jawatan asalkan
pegangan dan prinsip perjuangan demi agama,bangsa dan negara tidak digadaikan.
Satu perkara
yang menarik juga dalam novel ini tatkala diceritakan wajah Bush muncul dikaca
tv dan Badrul berfikir berkenaan apa yang dilakukan oleh Bush yang jelas tidak
sama seperti apa yang dibicarakannya berkenaan soal keamanan,kebebasan dan
pembelaan terhadap hak asasi manusia.Penulis seakan-akan mahu menyampaikan
mesej bahawa betapa pentingnya para pemimpin
politik ‘cakap serupa bikin’ ‘bikin serupa cakap’ dan tidak
memperbodohkan rakyat dengan pelbagai slogan dan retorik kosong ataupun menabur
pelbagai janji yang langsung tidak ditepati dan tidak dilaksanakan.
Dalam novel
ini dinyatakan seperti berikut:-
‘Dan serentak dengan itu,wajah Bush
berlegar dikaca TV dan secepat itu,Badrul terfikir:Bush juga bercakap tentang
keamanan,kebebasan,dan pembelaan terhadap hak asasi manusia,tetapi dalam masa
yang sama dia mengarahkan perang dan membunuh manusia.Bila naik ke puncak,dia
jadi puntianak menghirup darah manusia.’
Secara
kesimpulannya novel ini berjaya membawa pembaca menyelami realiti politik
semasa dan mengenal watak-watak orang politik yang pelbagai ragam serta sarat
dengan mesej yang berguna sebagai panduan dalam politik.Dalam keadaan situasi
politik negara yang tidak menentu dan penuh konflik,penghasilan novel politik
sebegini sangat bermakna dan mampu juga
dijadikan panduan dalam
mewujudkan iklim politik yang lebih tenang dan harmoni.
No comments:
Post a Comment