Sunday, April 26, 2015

Simposium Pengetahuan Ilmu Pribumi :Epistemologi Melayu



Saya berkesempatan hadir ke acara Simposium Pengetahuan Peribumi Melayu-Epistemologi Ilmu Melayu yang diadakan di Akademi Pengajian Melayu,Universiti Malaya pada 15 April 2015 yang lalu.

Akademi Pengajian Melayu(APM) ini sering mengadakan siri seminar-diskusi yang membahaskan apa jua yang berkaitan dunia Melayu dan ilmu-ilmunya yang sangat menakjubkan walaupun ia sering diabaikan oleh kita semua.

Saya sempat mengikuti slot perbahasan berkenaan seni bina Melayu.Dalam sesi ini pembentang mengupas berkenaan keindahan seni bina Melayu yang punya ciri yang tersendiri.

Ini mengingatkan saya kepada rumah senibina Melayu moyang saya di Baling,Kedah dimana rumah itu pernah didatangi tetamu dari Jerman yang cukup kagum dengan senibina Melayu khususnya bagaimana senibina tingkap rumah Melayu yang mempunyai corong-corong diatasnya yang membolehkan angin dan udara dari luar masuk melalui corong-corong tersebut dan menyejukkan ruang halaman rumah tanpa menggunakan ‘aircond’.

Tetamu dari Jerman itu dikhabarkan mengambil contoh senibina Melayu rumah moyang saya itu dan membina rumahnya di Jerman dengan pengaruh senibina Melayu juga.

Saya juga mendengar pembentangan Prof Harun Md Piah yang banyak mengkaji manuskrip lama melayu khususnya dalam bidang perubatan.Saya pernah ke rumahnya dahulu dalam satu jamuan kesyukuran anjuran beliau dan beliau berkongsi pengalaman beliau mengkaji manuskrip berkenaan perubatan Melayu zaman dahulu.

Dalam simposium ini  juga beliau mengupas berkenaan ilmu pengasih dan ilmu ramalan orang Melayu zaman dahulu. Hadirin ketawa apabila beliau memaklumkan hasil kajian beliau  kitab ‘kamasutra’ Melayu itu lebih hebat dari ‘kamasutra’  Sanskrit.

Terdapat begitu banyak ilmu pengetahuan Melayu yang sudah diabaikan generasi sekarang ini padahal ilmu-ilmu itu dapat memajukan kita dan kadang-kadang ilmu tersebut tidak dimiliki oleh orang lain .

Misalnya suatu masa dahulu orang lain berasa takjub dengan kemampuan orang Melayu dalam membina kapal/perahu tanpa menggunakan sebarang pelan ,lakaran yang mendalam dan ilmu berkenaan penyelaman ,bagaimana orang Melayu dahulu mampu menyelam dalam sungai,laut dan sebagainya.

Satu slot pembentangan simposium ini membahaskan berkenaan ilmu persenjataan Melayu dan mengupas berkenaan ilmu persilatan Melayu,penggunaan keris dan kerambit.


Turut menjadi pembentang dalam simposium ini ialah wakil dari negara Samoa, Tamasailau Suaalii Sauni yang kini mengajar di Victoria University of Wellington dalam ‘Pacific Studies and Samoan Studies Program’.

Beliau sempat memberitahu para hadirin tentang acara budaya yang diadakan oleh VUSSA Victoria University Samoan Students Assocation yang memperlihatkan tentang budaya Samoa bahkan menurut beliau pernah diadakan sebelum ini satu seminar antarabangsa yang turut mengupas berkenaan Melayu iaitu ‘3 rd International Seminar on Malay,Maori and Pacific Islands’ .

Beliau menekankan aspek ilmu-sains dan budaya dan mengupas berkenaan apa yang dipanggil sebagai ‘universal truth vs local truth’ ,identiti tempatan dan beberapa hal berkenaan budaya di Samoa dan negara jirannya seperti Tonga,Fiji,New Zealand,dan pulau Hawaii.

Prof Hashim Awang pula menjelaskan bagaimana kekuatan daya  cipta Melayu dahulu dan bagaimana orang Melayu begitu pandai dalam hal anyaman,melukis,menenun,mengukir dan dalam bidang sastera.

Menurut beliau orang Melayu dahulu cekap dalam hal kebolehan dan kebijaksanaan,bahasa dan kehidupan  mereka  yang berdamping dengan alam.

Beliau menjelaskan soal pendekatan gunaan-moral-firasat yang mengandungi pengetahuan,penggunaan bahasa kiasan,budi bahasa-yang tersurat dan yang tersirat,penggunaan metafora/lambang dan pendekatan agama –dakwah,sosio masyarakat-estetik dan rujukan terhadap Al-Quran .

Banyak lagi khazanah intelektual Melayu yang tidak digali lagi dan ia memerlukan kajian dan penyelidikan yang mendalam disamping acara pembentangan kajian sebegini perlu lebih kerap diadakan dan diperluaskan lagi agar ilmu –ilmu tersebut terus dipelajari oleh generasi sekarang ini.






No comments:

Post a Comment