Sunday, September 18, 2016

Pilihanraya Kampus:Perjuangkan agenda mahasiswa

Pilihanraya Kampus:Perjuangkan agenda mahasiswa

Oleh

Wan Mohamad Wasif Wan Mohamad
(Jaringan Anak Muda)
wasiferdogan@gmail.com

Pilihanraya kampus yang berlangsung saban tahun wajar menjadi salah satu medan latihan kepimpinan buat para mahasiswa. Pelbagai kemahiran memimpin,ilmu pengurusan organisasi,ketrampilan diri dan sebagainya yang mampu mengilap potensi mahasiswa sepatutnya dapat diraih oleh mahasiswa melalui penganjuran pilihanraya kampus ini.Walaupun begitu kita tidak dapat menafikan realiti bahawa kadangkala pilihanraya kampus khususnya di kampus utama sering hangat dengan pelbagai isu menjelang persaingan merebut pengaruh dalam kalangan pimpinan pelbagai organisasi mahasiswa.

Mahasiswa walaupun tidak disekat sepenuhnya untuk melibatkan diri dalam politik sewajarnya mengelakkan diri dari campur tangan politik kepartian secara melampau sebaliknya perlu lebih bebas bergerak atas nama mahasiswa.Bergerak bebas atas nama mahasiswa tanpa terpaksa tunduk kepada tekanan mana-mana parti politik memungkinkan organisasi mahasiswa itu akan lebih diterima secara meluas oleh lebih ramai mahasiswa di kampus.Kecenderungan untuk terlampau terikat dan tunduk bahkan dilihat lebih mesra kepada sesebuah parti politik atau barisan/pakatan/kerjasama kepartian tertentu  menyebabkan organisasi mahasiswa tidak mampu bersuara dengan lebih bebas atas nama mahasiswa.Oleh kerana itu organisasi mahasiswa harus menjaga jarak dengan mana-mana parti politik walaupun tidak menolak untuk berkerjasama dengan mana-mana pihak yang mahu menjayakan agenda yang menguntungkan mahasiswa keseluruhannya.Agenda untuk mahasiswa perlu diutamakan berbanding agenda peribadi atau agenda kelompok-kelompok tertentu.

Organisasi mahasiswa perlu memberi fokus utama kepada isu-isu yang paling dekat di hati mahasiswa berbanding isu-isu lain.Memang tidak dinafikan wujud pelbagai isu saban hari namun tidak kesemua isu perlu dijuarai sepenuhnya oleh organisasi mahasiswa.Organisasi mahasiswa perlu membuat kajian terperinci tentang keutamaan isu dalam kalangan mahasiswa dan tidak bersifat terlampau gelojoh,terburu-buru,bahkan membuta tuli dalam memperjuangkan sesuatu isu.Kajian penyelidikan,fakta-fakta,data dan sebagainya harus menjadi keutamaan sesuai dengan taraf sebagai seorang mahasiswa universiti.Malas dan culas dalam membuat kajian inilah yang akan menyebabkan organisasi mahasiswa kehilangan fokus seterusnya bersifat syok sendiri lantas mengabaikan isu-isu yang paling penting dan paling dekat di hati mahasiswa.Kajian lapangan di peringkat kampus misalnya perlu diberi keutamaan dalam mengenal pasti isu-isu utama yang menjadi keprihatinan para mahasiswa di kampus.

Kualiti  keilmuan mahasiswa sangat perlu diberi perhatian oleh setiap organisasi mahasiswa.Kita tidak mahu universiti kita melahirkan mahasiswa yang tidak benar-benar serius mendalami dan menguasai pelbagai cabang ilmu.Pelbagai program tersusun secara sistematik yang mampu meningkatkan tahap penguasaan ilmu,daya fikir,dan keintelektualan mahasiswa kita perlu diusahakan dan dirangka sebaiknya oleh organisasi mahasiswa.Gerakan keilmuan dan keintelektualan mahasiswa ini perlu dirancang rapi di setiap fakulti,kolej kediaman dan memerlukan jaringan yang kukuh antara pelbagai organisasi dan persatuan yang wujud di kampus universiti.Sokongan dan kerjasama dari pihak pentadbiran universiti dan kolej kediaman untuk mengaktifkan pelbagai program ilmu juga perlu digerakkan dan ini memerlukan komitmen yang serius oleh organisasi mahasiswa dalam mendekati pimpinan pentadbiran universiti dan kolej kediaman.Hubungan baik antara organisasi mahasiswa dengan pimpinan pentadbiran universiti dan kolej kediaman ini mampu memudahkan perancangan organisasi mahasiswa dalam menghidupkan pelbagai bentuk kegiatan keilmuan mahasiswa.

Untuk menjayakan pelbagai agenda mahasiswa ini,semua organisasi mahasiswa perlu bersatu teguh dan mengelakkan sebarang bentuk perpecahan dan pertelagahan sesama sendiri dalam membentuk gelombang kekuatan mahasiswa.Sebarang perbezaan pandangan dan kepelbagaian method serta gerak kerja perlu ditangani sebaik mungkin dengan penuh semangat persaudaraan mahasiswa.Perpecahan sesama sendiri akan membantutkan apa jua gerak kerja demi manfaat mahasiswa keseluruhannya.Menjelang perlaksanaan pilihanraya kampus dan perebutan pengaruh di kampus inilah saat yang memungkinkan perpecahan sesama sendiri berlaku jika organisasi mahasiswa tidak mempunyai jiwa besar dan kesatuan dalam kerangka besar perjuangan agenda untuk mahasiswa.Oleh kerana itu organisasi mahasiswa perlu disedarkan dengan agenda yang jauh lebih besar pengisian pasca pilihanraya kampus .Pengisian pasca pilihanraya kampus inilah yang perlu difikirkan oleh pimpinan  organisasi mahasiswa dan tanpa usaha berfikir secara sistematik dan penuh perancangan strategik inilah sebarang bentuk agenda mahasiswa tidak mungkin berjaya direalisasikan.

No comments:

Post a Comment