Wednesday, April 22, 2015

Tembual bersama saudara Muhamad Humaidi(isu perbezaan aliran pemikiran Islam dll)



Wartawan Jaringan Anak Muda menemubual saudara Muhamad Humaidi,lulusan  Fiqh Usul,Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya dan meminta pandangan beliau berkenaan isu perbezaan aliran pemikiran Islam di Malaysia,peranan agama dalam era masa kini dan bagaimana menangani perbezaan pandangan khususnya daripada lepasan pengajian agama dari pelbagai negara.




Temubual bersama beliau ialah seperti berikut:-

Bagaimana saudara melihat isu perbezaan aliran pemikiran Islam di Malaysia ?

Isu perbezaan aliran pemikiran Islam di Malaysia ini banyak  dimainkan oleh pihak media dan masyarakat akan mula membahaskannya selepas diperbesar-besarkan  dan dihangatkan oleh pihak media.Kemunculan media sosial merancakkan lagi perbahasan ini

Di kalangan masyarakat kita juga ramai yang mengaku bermazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah mengamalkan fiqh Syafii walaupun amalan mereka  bertentangan dengan  ajaran sebenar yang diajar oleh Imam Syafii.

Masalah perbezaan pandangan dalam isu fiqh usahlah diperbesar-besarkan memandangkan fiqh merupakan hasil ijtihad yang boleh disesuaikan dengan keadaan semasa dan ia berbeza dengan isu aqidah yang perlu diberi perhatian lebih mendalam.Persoalan Fiqh ini perlu diperluaskan perbahasannya lagi bukan disempitkannya.

Masyarakat kita sekarang ini kadangkala melabel diri mereka sebagai Ahli Sunnah Wal Jamaah dan melabelkan pihak yang berbeza pandangan dengan mereka dengan pelbagai label  walaupun barangkali mereka juga tidak tahu apa itu Ahli Sunnah Wal 

Jamaah.Mazhab juga seolah-olah  dianggap sebagai satu organisasi yang perlu didaftar keahliannya.
Segala perbezaan pandangan ini perlulah diraikan dan kita perlu mengelak daripada mewujudkan keadaan yang boleh menimbulkan konflik dalam masyarakat kita.

Apakah isu besar yang wajar dibahaskan dalam masyarakat kita bagi mengelakkan kita tenggelam dalam membahaskan isu perbezaan pandangan sesama kita  dalam isu-isu ranting dan kecil yang tidak wajar diperbesar-besarkan? 

Bagi saya masyarakat kita lebih wajar membahaskan masalah sosio masyarakat dan isu-isu seperti nasib gelandangan,ibu tunggal,anak yatim,anak luar nikah dan menangani pelbagai gejala sosial yang telah berlaku pada masa sekarang.Masyarakat kita seolah-olah lebih suka membincangkan isu-isu yang bersifat teori dan berdebat tidak berkesudahan dan tidak membincangkan isu-isu yang boleh membangunkan masyarakat kita ke arah yang lebih baik.



Pada pandangan saudara,apakah  punca masyarakat kita suka menghabiskan  masa membahaskan isu-isu kecil dan berdebat  berbalah tidak berkesudahan?

Banyak punca yang menyebabkan hal ini berlaku tetapi pada pandangan saya kewujudan media sosial turut menyumbang merumitkan lagi keadaan apabila atas nama kebebasan bersuara,semua orang boleh memberi pandangan masing-masing sehingga kita mengabaikan pandangan daripada mereka yang lebih berauthoriti.

Apatah lagi dikalangan para guru atau agamawan sendiri yang turut terlibat memperbesar-besarkan isu yang kecil,banyak menimbulkan kontroversi,dan berbalah tidak berkesudahan dalam pelbagai isu.

Cara penyampaian guru-agamawan itu sendiri turut menyebabkan anak murid mereka terjebak dalam konflik perbahasan isu-isu kecil ini sehingga mengabaikan isu-isu yang lebih besar.

Para agamawan perlu memberi kefahaman Islam secara betul kepada masyarakat dan sentiasa mengamalkan pendekatan wasatiyyah serta menghargai perbezaan pandangan.
Jika mereka saling salah menyalahkan antara satu sama lain,ia langsung tidak akan menyelesaikan apa jua masalah dalam masyarakat kita sekarang ini.

Muncul pelajar pengajian agama dari pelbagai negara seperti Mesir, Jordan,Arab Saudi dan lain-lain dari latar belakang pengajian yang  berbeza dan kecenderungan dengan pelbagai aliran seperti Sufi,Salafi dan lain-lain.Apa pandangan saudara dalam hal ini dan bagaimana kepulangan mereka ke tanah air sebaik tamat pengajian nanti tidak akan menimbulkan  kekecohan dalam masyarakat kita?

Kewujudan mereka ini merancakkan lagi perbahasan pengajian agama dan mereka pastinya sedikit sebanyak mudah terpengaruh dengan para guru mereka dan latar belakang pengajian mereka yang barangkali berbeza.Samada mereka belajar di luar negara mahupun belajar didalam negara kita sendiri,usaha untuk menyatukan semua aliran dan pandangan barangkali mustahil dengan kewujudan pelbagai perbezaan namun sekurang-kurangnya kita mengharapkan mereka sentiasa saling hormat menghormati pandangan orang lain dan inilah peranan adab dalam pengajian.

Sebagaimana mereka hormat kepada guru-guru mereka,mereka juga harus menghormati  orang lain juga dan segala perbezaan pandangan perlulah ditangani menggunakan medium yang betul tanpa menimbulkan sebarang kekecohan bahkan perpecahan dalam masyarakat.

No comments:

Post a Comment