Monday, September 19, 2016

Bersama kawan Uzbekistan

9 September 2016,UIM Cyberjaya
Bawa kawan lama Uzbekistan melawat UIM di Cyberjaya.UIM menyediakan kemudahan lengkap untuk mereka yang mahu menyambung pengajian di peringkat Master dan PHD.
Kawan lama kami dari Uzbekistan yang kami kenali melalui siri acara Malaysia Turkish Dialogue Society ini memiliki 2 BA(Tashkent State Institute of Oriental Studies,Imom Buhari University of Tashkent),1 Master dan baru siapkan PHDnya dalam Theology dan Falsafah.
Beliau juga menguasai bahasa Uzbek,bahasa Arab,bahasa Turki,bahasa Inggeris,bahasa Russia,bahasa Parsi dan kini cuba menguasai juga Bahasa Melayu selain menghafaz Al Quran.


Minat mendalam beliau terhadap ilmu ,kajian teks kitab dan pemikiran tokoh membawa beliau ke Malaysia.
Rugi jika kita di Malaysia tidak memanfaatkan kehadiran beliau disini.
Uzbekistan dari segi sejarah memang melahirkan ramai ilmuwan yang menguasai pelbagai cabang ilmu.

Bersama Prof Azyumardi Azra

10 September 2016-Concorde KL(International Seminar on Islam Without Sectarianisme anjuran IRF)
Pertemuan kali ketiga bersama Prof Azyumardi Azra,mantan Rektor UIN Syarif Hidayatullah Jakarta di acara anjuran IRF .
Kali pertama bertemu beliau sewaktu beliau menyampaikan syarahan di Universiti Malaya dan kali kedua sewaktu menyertai acara AMAN di IDFR bersama anak allahyarham Dr Asghar Ali Engineer.
Tesis PHD beliau bertajuk "The Transmission of Islamic Reformism to Indonesia: Network of Middle Eastern and Malay-Indonesian ‘Ulama ini the Seventeenth and Eighteenth Centuries" dan buku-buku beliau menjadi rujukan utama para pengkaji ilmuwan nusantara.
Beliau pernah bertugas sebagai Visiting Fellow di Oxford Centre for Islamic Studies, Oxford University dan sewaktu menjadi Rektor dahulu beliau banyak membawa perubahan ke arah integrasi ilmu,pemikiran Islam yang lebih terbuka dan sesuai dengan konteks nusantara.
Wasif Wan's photo.

Bersama Dr Chandra Muzaffar,

10 September 2016-Concorde KL(International Seminar on Islam Without Sectarianisme anjuran IRF)
Bersama Dr Chandra Muzaffar,
President, International Movement for a Just World (JUST), Pengasas
Aliran Kesedaran Negara (ALIRAN) dan pernah memimpin Pusat Dialog Peradaban,Universiti Malaya.
Seorang aktivis sosial yang memperjuangkan isu hak asasi manusia,dialog peradaban,hubungan harmoni antara agama juga seorang intelektual yang telah menulis pelbagai buku .
Kupasan beliau sangat menarik berkenaan isu geopolitik-hubungan antarabangsa.Beliau juga pernah terlibat dalam Parti Keadilan Nasional sebagai Timbalan Presiden sebelum meninggalkan parti tersebut.

Filem Germany:Hin Und Weg

14 September 2016,Platinum Central(8 -10 malam)
Menonton tayangan filem Germany (percuma/gratis) malam ini anjuran bersama pelbagai pihak termasuk kedutaan-kedutaan.
Filem yang mengisahkan suka duka kehidupan,persahabatan,perjalanan kembara berbasikal dari Jerman ke Belgium,dan kisah sedih detik-detik akhir seorang yang menunggu detik saat kematiannya selepas mengetahui setakat mana tempoh kehidupannya.
Filem ini mengajar erti nilai kehidupan dan kepentingan memanfaatkan waktu bersama insan yang disayangi sebelum mereka pergi meninggalkan kita buat selamanya.
Mentor saya dari Uzbekistan pernah memetik pepatah yang lebih kurang maksudnya :
"(Kehidupan)Dunia ini singkat maka jadikanlah ia penuh bermakna(penuh kebaikan/ketaatan)


Di Malaysian Turkish Dialogue Society



14 September 2016,Malaysian Turkish Dialogue Society,Titiwangsa(9 pagi-10 pagi,6-7 malam)
Marahkan nasi lemak tak berapa sedap,makcik penjual nasi lemak dilempang pipinya oppps marahkan teh tarik yang terlebih manis,mamak disepak diterajangnya oppps marahkan nyamuk,kelambu dibakar!
Tamat bacaan satu lagi buku berkenaan pemikiran Fethullah Gulen yang kini dituduh pengganas .Sebelum membuat apa-apa tuduhan, semak dahulu pemikiran dan hasil gerak kerja seseorang itu ya.Peace!


Time International School

14 September 2016,Time International School,Segambut(10.30-11.30 pagi)
Time International School,salah sebuah sekolah antarabangsa yang dibina oleh mereka yang terinspirasi dengan pemikiran Fethullah Gulen.Gulen apabila ditanya berapa jumlah sekolah yang dimilikinya hanya menjawab beliau tidak memiliki sekolah dan tidak mengetahui berapa jumlah sekolah yang didirikan di seluruh dunia oleh mereka yang terinspirasi dengan idea-pemikirannya.
Beliau melontarkan idea buah fikirnya melalui tulisan,siri ceramah kelompok dan ternyata pemikirannya menginspirasi ramai orang yang sanggup "melabur" untuk sistem pendidikan yang berkualiti.
Untuk membeli makanan minuman di kafe sekolah ini mereka menggunakan kad Touch n Go dan tidak lagi menerima "cash".
Pelbagai anugerah inovasi-rekacipta,Matematik, Sains dan Teknologi di peringkat Olympiad antarabangsa pernah dimenangi oleh para pelajar sekolah ini.
Kemudahan sukan,seni budaya,inovasi-kreativiti,lawatan sambil belajar,kemahiran seperti menemubual,menulis,muzik dan sebagainya diberi perhatian secukupnya di sekolah ini.
Untung mereka yang sejak muda lagi diberi pendedahan antarabangsa.
Wasif Wan's photo.

Sunday, September 18, 2016

Pilihanraya Kampus:Perjuangkan agenda mahasiswa

Pilihanraya Kampus:Perjuangkan agenda mahasiswa

Oleh

Wan Mohamad Wasif Wan Mohamad
(Jaringan Anak Muda)
wasiferdogan@gmail.com

Pilihanraya kampus yang berlangsung saban tahun wajar menjadi salah satu medan latihan kepimpinan buat para mahasiswa. Pelbagai kemahiran memimpin,ilmu pengurusan organisasi,ketrampilan diri dan sebagainya yang mampu mengilap potensi mahasiswa sepatutnya dapat diraih oleh mahasiswa melalui penganjuran pilihanraya kampus ini.Walaupun begitu kita tidak dapat menafikan realiti bahawa kadangkala pilihanraya kampus khususnya di kampus utama sering hangat dengan pelbagai isu menjelang persaingan merebut pengaruh dalam kalangan pimpinan pelbagai organisasi mahasiswa.

Mahasiswa walaupun tidak disekat sepenuhnya untuk melibatkan diri dalam politik sewajarnya mengelakkan diri dari campur tangan politik kepartian secara melampau sebaliknya perlu lebih bebas bergerak atas nama mahasiswa.Bergerak bebas atas nama mahasiswa tanpa terpaksa tunduk kepada tekanan mana-mana parti politik memungkinkan organisasi mahasiswa itu akan lebih diterima secara meluas oleh lebih ramai mahasiswa di kampus.Kecenderungan untuk terlampau terikat dan tunduk bahkan dilihat lebih mesra kepada sesebuah parti politik atau barisan/pakatan/kerjasama kepartian tertentu  menyebabkan organisasi mahasiswa tidak mampu bersuara dengan lebih bebas atas nama mahasiswa.Oleh kerana itu organisasi mahasiswa harus menjaga jarak dengan mana-mana parti politik walaupun tidak menolak untuk berkerjasama dengan mana-mana pihak yang mahu menjayakan agenda yang menguntungkan mahasiswa keseluruhannya.Agenda untuk mahasiswa perlu diutamakan berbanding agenda peribadi atau agenda kelompok-kelompok tertentu.

Organisasi mahasiswa perlu memberi fokus utama kepada isu-isu yang paling dekat di hati mahasiswa berbanding isu-isu lain.Memang tidak dinafikan wujud pelbagai isu saban hari namun tidak kesemua isu perlu dijuarai sepenuhnya oleh organisasi mahasiswa.Organisasi mahasiswa perlu membuat kajian terperinci tentang keutamaan isu dalam kalangan mahasiswa dan tidak bersifat terlampau gelojoh,terburu-buru,bahkan membuta tuli dalam memperjuangkan sesuatu isu.Kajian penyelidikan,fakta-fakta,data dan sebagainya harus menjadi keutamaan sesuai dengan taraf sebagai seorang mahasiswa universiti.Malas dan culas dalam membuat kajian inilah yang akan menyebabkan organisasi mahasiswa kehilangan fokus seterusnya bersifat syok sendiri lantas mengabaikan isu-isu yang paling penting dan paling dekat di hati mahasiswa.Kajian lapangan di peringkat kampus misalnya perlu diberi keutamaan dalam mengenal pasti isu-isu utama yang menjadi keprihatinan para mahasiswa di kampus.

Kualiti  keilmuan mahasiswa sangat perlu diberi perhatian oleh setiap organisasi mahasiswa.Kita tidak mahu universiti kita melahirkan mahasiswa yang tidak benar-benar serius mendalami dan menguasai pelbagai cabang ilmu.Pelbagai program tersusun secara sistematik yang mampu meningkatkan tahap penguasaan ilmu,daya fikir,dan keintelektualan mahasiswa kita perlu diusahakan dan dirangka sebaiknya oleh organisasi mahasiswa.Gerakan keilmuan dan keintelektualan mahasiswa ini perlu dirancang rapi di setiap fakulti,kolej kediaman dan memerlukan jaringan yang kukuh antara pelbagai organisasi dan persatuan yang wujud di kampus universiti.Sokongan dan kerjasama dari pihak pentadbiran universiti dan kolej kediaman untuk mengaktifkan pelbagai program ilmu juga perlu digerakkan dan ini memerlukan komitmen yang serius oleh organisasi mahasiswa dalam mendekati pimpinan pentadbiran universiti dan kolej kediaman.Hubungan baik antara organisasi mahasiswa dengan pimpinan pentadbiran universiti dan kolej kediaman ini mampu memudahkan perancangan organisasi mahasiswa dalam menghidupkan pelbagai bentuk kegiatan keilmuan mahasiswa.

Untuk menjayakan pelbagai agenda mahasiswa ini,semua organisasi mahasiswa perlu bersatu teguh dan mengelakkan sebarang bentuk perpecahan dan pertelagahan sesama sendiri dalam membentuk gelombang kekuatan mahasiswa.Sebarang perbezaan pandangan dan kepelbagaian method serta gerak kerja perlu ditangani sebaik mungkin dengan penuh semangat persaudaraan mahasiswa.Perpecahan sesama sendiri akan membantutkan apa jua gerak kerja demi manfaat mahasiswa keseluruhannya.Menjelang perlaksanaan pilihanraya kampus dan perebutan pengaruh di kampus inilah saat yang memungkinkan perpecahan sesama sendiri berlaku jika organisasi mahasiswa tidak mempunyai jiwa besar dan kesatuan dalam kerangka besar perjuangan agenda untuk mahasiswa.Oleh kerana itu organisasi mahasiswa perlu disedarkan dengan agenda yang jauh lebih besar pengisian pasca pilihanraya kampus .Pengisian pasca pilihanraya kampus inilah yang perlu difikirkan oleh pimpinan  organisasi mahasiswa dan tanpa usaha berfikir secara sistematik dan penuh perancangan strategik inilah sebarang bentuk agenda mahasiswa tidak mungkin berjaya direalisasikan.